29 September 2013

PUISI MODEN (SAJAK) TIBGJATAN 4 (BPK)
Harga Remaja
(Rahman Shaari)

MAKSUD:
Rangkap 1                
Pengajak menerangkan tentang kepentingan usia remaja yang tinggi nilainya dalam meniti kehidupan.

Rangkap 2
Penyajak mencetuskan persoalan tentang pengisian kehidupan remaja sama ada dipenuhi kelalaian atau digunakan untuk menuntut ilmu.

Rangkap 3
Usia remaja amat bernilai dan tidak boleh dibeli dengan perjanjian. Remaja perlu teguh pendirian, berani menghadapi cabaran dan gigih menuntut ilmu.

Rangkap 4
Remaja perlu mempunyai matlamat hidup untuk menjadi insan yang berguna.

TEMA
Ketinggian nilai usia remaja berdasarkan pengisian usia muda.
Zaman remaja ialah zaman paling berharga dan para remaja mesti mengisinya dengan sesuatu yang baik. Remaja juga mesti berani berpendirian dan berilmu pengetahuan serta mempunyai hala tuju.

PERSOALAN
1.     Persoalan tentang kehidupan remaja yang penuh dengan cabaran dan dugaan.
2.     Persoalan jati diri remaja.
3.     Persoalan keberanian remaja dalam menempuh liku-liku kehidupan.Tanpa keberanian, remaja susah menghadapi zaman remaja yang penuh masalah dan pengaruh.
4.     Persoalan hala tuju hidup dalam diri remaja.
Zaman remaja dapat diisi dengan sebaik-baiknya dengan adanya hala tuju dan matlamat hidup.

BENTUK
1.     Terdiri daripada empat rangkap
2.     Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama, kedua dan ketiga terdiri daripada enam baris, manakala rangkap keempat terdiri daripada dua baris.
3.     Mengandungi antara satu hingga empat patah kata sebaris.
4.     Rima akhirnya bebas abaccd,abcdcd, abcdce dan aa.
5.     Sajak ini berbentuk bebas.
NADA

Sinis

GAYA BAHASA

1.     Ayatnya pendek-pendek. Contoh: pendirian (rangkap 3, baris 5)

2.     Diksinya mudah difahami. Contoh: dengan apakah akan kaupenuhi (rangkap 2, baris 1)

3.     Aliterasi :pengulangan konsonan m. Contoh : remaja amat mahal (rangkap 3, baris 1)

4.     Pengulangan konsonan t.  Contoh :  dengan ketentuan tuju (rangkap 4, baris 2)

5.     Asonansi :pengulangan vokal a.  Contoh :dengan apakah akan kaupenuhi (rangkap 2, baris 1)
             Pengulangan vokal i.   Contoh : di pinggir perjalanan ini? (rangkap 1, baris 6)

6.     Anafora – pengulangan perkataan pada awal baris
Contoh : bagai kehijauan daun, bagai kesegaran pohon (rangkap 1, baris 4-5)

7.     Metafora . Contoh : piala remajamu  (rangkap 2, baris 2)
                                   cuka kesangsian (rangkap 2, baris 3)
                           madu ajaran  (rangkap 2, baris 5)
8.     Simile . Contoh : bagai kehijauan daun (rangkap 1, baris 4)

9.     Sinkope.   Contoh : Penuhilah remajamu, Dengan apakah akan kau penuhi


NILAI
1.     Nilai keberanian. Remaja perlu berani untuk menegakkan kebenaran.
2.     Nilai kegigihan. Remaja mestilah berusaha untuk menuntut ilmu.
3.     Nilai kebijaksanaan. Remaja perlu bijak menentukan hala tuju diri dalam hidup mereka.

PENGAJARAN
1.     Kita hendaklah mengisi masa remaja dengan perkara-perkara yang bermanfaat.
2.     Kita mestilah rajin berusaha dan menuntut ilmu demi masa depan yang cerah.
3.     Kita hendaklah berani menempuh dugaan hidup.Remaja mestilah mempunyai keberanian kerana tanpa keberanian, remaja susah menghadapi zaman remaja yang penuh masalah dan pengaruh.
4.     Kita perlu mempunyai pendirian yang tetap dan yakin akan diri sendiri.
_________________________________________________________________________________________________
Di Perpustakaan
(Shafie Abu Bakar)

MAKSUD
Rangkap 1
Penyajak menggambarkan suasana di dalam perpustakaan sangat berbeza daripada tempat-tempat lain. Perpustakaan amat kaya dengan pelbagai ilmu. Para pengunjungnya pula tekun menelaah.

Rangkap 2
Penyajak berasakan bahawa dirinya terlalu kerdil apabila berada di rak buku yang mengandungi pelbagai jenis buku. Penyajak berasakan ilmu yang dimilikinya terlalu sedikit jika dibandingkan dengan lautan ilmu yang terdapat di perpustakaan dan dirinya tidak mugkin dapat menguasai semua ilmu yang ada di dunia.


Rangkap 3
Penyajak berusaha mencari ilmu pengetahuan walaupun dia mengetahui ilmu yang ada tidak akan habis diterokainya.

TEMA
Perpustakaan merupakan gedung ilmu yang menjadi kunjungan pencinta ilmu.

PERSOALAN
1.     Persoalan pelbagai khazanah ilmu yang terdapat di perpustakaan dan perlu dimanfaatkan.
2.     Persoalan tentang pencarian ilmu pengetahuan yang terlalu luas bidangnya.
3.     Persoalan cinta akan ilmu pengetahun.

BENTUK
1.     Terdiri daripada tiga rangkap
2.     Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama ada sepuluh baris, rangkap kedua ada lima belas baris dan rangkap ketiga terdiri daripada enam baris.
3.     Mengandungi antara dua hingga lima patah kata sebaris.
4.     Rima akhirnya bebas abccdddddd, abacdbbefegehcc,, abbaba.
5.     Sajak ini berbentuk bebas.

NADA
Sinis

GAYA BAHASA
1.     Pemilihan kata atau diksinya indah. Contoh : Gua pendeta bersamadi.
2.     Aliterasi :pengulangan konsonan n
Contoh : Ke kedinginan yang menerpa (rangkap 1 baris 4)
                Pengulangan konsonan t
Contoh :  satu pertukaran yang kontras
3.     Asonansi :pengulangan vokal a
Contoh :Dahaga tak pernah langsai (rangkap 3, baris 6)
             Pengulangan vokal i
Contoh : hanya sebiji dari mutiara (rangkap 2, baris 12)
4.     Anafora – pengulangan perkataan pada awal baris
Contoh : Di puncak sepi
                                Di sana sini (rangkap 1, baris 7-8)
5.     Metafora
Contoh : Di dada samudera  (rangkap 3, baris 3)
                                   Bahtera ilmu (rangkap 2, baris 7)
6.     Sinkope
Contoh : Melangkah ke ruangmu
Yang akan kucatat
7.     Personifikasi - Contoh : Ke kedinginan yang menerpa
8.     Imejan  - Contoh : Gua pendeta bersemadi. (rangkap 1, baris 6)


NILAI
1.     Nilai kerajinan, contohnya rajin menuntut ilmu.
2.     Nilai ketekunan, contohnya tekun dalam mempelajari ilmu pengetahuan.
3.     Nilai bertanggungjawab  contohnya berminat untuk mendalami ilmu pengetahuan.


PENGAJARAN
1.     Kita hendaklah tekun semasa menuntut ilmu.
2.     Kita hendaklah meneliti minat untuk mendalami sesuatu bidang ilmu.
3.     Kita hendaklah memiliki kegigihan dalam usaha mngejar ilmu.
4.     Kita hendaklah rajin mengunjungi perpustakaan.

Mengintai Ruang Insaf
(Shukri Abdullah)

MAKSUD

Rangkap 1
Penyajak berasakan bahawa semakin banyak dosa  yang dilakukannya telah menjauhkan dirinya dari rahmat Allah s.w.t.

Rangkap 2
Penyajak merupakan insan biasa yang seringkali melakukan kesilapan dalam hidup sehinggakan sukar untuk dirinya mendapat cahaya kebenaran dari Ilahi.

Rangkap 3
Penyajak tidak yakin sekiranya ruang keinsafan akan wujud dalam dirinya.

Rangkap 4
Penyajak berharap agar pintu taubat masih terbuka dan dirinya terhindar dari api neraka.

TEMA
Perasaan insaf seseorang atas kesilapan yang dilakukan dan bertekad untuk bertaubat.

PERSOALAN
1.     Persoalan fitrah manusia yang sering melakukan kesilapan dalam hidup..
2.     Persoalan keinsafan yang wujud dalam diri manusia apabila menyedari kesilapan masa lalu.
3.     Persoalan keinginan untuk kembali mendapat keampunan dan rahmat Allah.
4.     Persoalan kesukaran mendapat rahmat Allah akibat berterusan melakukan dosa dalam hidup.

BENTUK
1.     Terdiri daripada empat rangkap
2.     Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama ada empat baris, rangkap kedua ada enam baris, rangkap ketiga terdiri daripada lima baris manakala rangkap keempat terdiri daripada tiga baris.
3.     Mengandungi antara satu hingga enam patah kata sebaris.
4.     Rima akhirnya bebas abab,abcdbe,aabcd dan abb.
5.     Sajak ini berbentuk bebas.

NADA
Melankolik.

GAYA BAHASA
1.     Pemilihan kata atau diksinya indah.  Contoh : tubuhku tercalar duri pidana.
2.     Aliterasi :pengulangan konsonan n. Contoh : Tanpa kembali ke tunjang makna (rangkap 3  baris 2)     
3.     Pengulangan konsonan k. Contoh :  kerap kakiku tersadung selirat akar (rangkap 2,  baris 2)
4.     Dialog. Contoh : “Apakah dalam sarat khilaf masih terbuka ruang untuk dianugerahkan keinsafan?”
5.      Asonansi :pengulangan vokal i
Contoh : Sewaktu berlari di padang hidup. (rangkap 2, baris 1)
6.      Pengulangan vokal u
Contoh : masih terbuka ruang untuk (rangkap 3, baris 4)
7.     Metafora . Contoh : Sewaktu berlari di padang hidup  (rangkap 2, baris 1)            
8.     Hiperbola. Contoh : Tubuhku tercalar duri pidana (rangkap 2, baris 3)
9.     Penggunaan bahasa asing. Contoh : Rabb (bahasa arab)
10.   Sinkope. Contoh : Kerap kakiku tersadung selirat akar.


NILAI
1.     Nilai keinsafan, contohnya timbulnya perasaan insaf yang mendalam untuk bertaubat akibat kesalahan masa lampaunya.
2.     Nilai rasional, contohnya penyajak mengakui segala kesilapan yang pernah dilakukannya.
3.     Nilai kesedaran, contohnya penyajak sedar dirinya telah melakukan banyak kesalahan.

PENGAJARAN
1.             Kita hendaklah insaf setelah melakukan kesalahan.
2.             Kita hendaklah mengakui kesilapan yang dilakukan.
3.             Kita janganlah selalu melakukan dosa.
4.             Kita wajib bertaubat sebelum terlambat.
________________________________________________________________________________________________
Mahsuri
(Zurinah Hassan)
MAKSUD
Rangkap 1
Sajak ini  mengisahkan tentang diri Mahsuri dan sumpahannya yang menjadi lagenda di Pulau Langkawi. Mahsuri digambarkan sebagai lambing wanita yang setia tetapi telah difitnah akibat hasad dengki dan dendamnya terhadap orang yang menzalimi dirinya. Sumpahan dan darah suci Mahsuri yang mengalir berwarna putih ketika dia dibunuh telah menjadi lagenda. Setelah tamatnya tempoh sumpahan Mahsuri tujuh keturunan, kini langkawi telah membangun dengan pesat dan maju.

Rangkap 2
Penyajak menzahirkan pertikaian beberapa pendapat tentang kewujudan Mahsuri kerana ada yang mengatakan kisah Mahsuri hanyalah khayalan seorang seniman.Namun realitinya kisah Mahsuri itu benar dan keunikan Mahsuri itu telah digarapkan dalam karya sastera dan akhirnya menjadikan lagenda itu lebih mahsyur. Lagenda inilah yang menjadi batu loncatan kepada kemajuan Langkawi. Hasil karya sastera telah memperkasa dan memartabatkan kesusasteraan tanah air tercinta.

TEMA
Sejarah dan sastera yang begitu bernilai dan mampu menjana ekonomi Negara.

PERSOALAN
1.     Persoalan fitnah dalam kalangan masyarakat. Mahsuri dihukum bunuh kesan fitnah yang menimpa dirinya. Disebabkan itu warna darahnya yang mengalir telah menjadi putih.

2.     Persoalan sumpah dan dendam. Kezaliman yang berlaku ke atas dirinya telah menimbulkan dendam sehingga terzahirnya sumpah Mahsuri tujuh keturunan.

3.     Persoalan sastera dan sejarah. Sejarah menjadi bukti sahih yang digarapkan menjadi hasil sastera yang bernilai.

4.     Persoalan mengharumkan nama Negara di persada dunia. Lagenda Mahsuri telah memahsyurkan nama Langkawi diserata dunia.

BENTUK
1.     Terdiri daripada dua rangkap
2.     Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama ada enam belas baris manakala rangkap kedua ada sebelas baris.
3.     Mengandungi antara satu hingga enam patah kata sebaris.
4.     Rima akhirnya bebas iaitu abbaccdedfaaaaba dan abbaccdeeed.
5.     Sajak ini berbentuk bebas.

NADA
Melankolik.

GAYA BAHASA
1.     Pemilihan kata atau diksinya indah. Contoh : air matamu dingin embun.
2.     Aliterasi :pengulangan konsonan m. Contoh : rambutmu menjadi jalur hitam (rangkap 1  baris 5)
3.     Asonansi :pengulangan vokal u. Contoh : menyambut tetamu pulau
4.     Metafora . Contoh : terapung di laut malam  (rangkap 1, baris 6)
5.     Hiperbola. Contoh : melengkung tujuh tanjung (rangkap 1, baris 10)
                   Putihlah pulau ini (rangkap 1, baris 11)
6.     Sinkope. Contoh : kerana tanpamu
7.     Personifikasi. Contoh : nyanyian ombak pagi (rangkap 1, baris 4)

NILAI
1.     Nilai menghargai. Sejarah dan sastera perlu dihargai sebagai warisan negara yang bernilai tinggi.
      2.       Nilai kesetiaan. Mahsuri digambarkan sebagai seorang isteri yang sangat setia kepada suaminya.
3.       Nilai patriotisme. Perasaan cinta akan sejarah dan sastera penting dalam pembinaan negara bangsa yang berjaya.
      4.       Nilai kreativiti penulis.Penulis yang kreatif mampu mengolah bahan sejarah menjadi hasil sastera yang indah.

PENGAJARAN
1.     Kita hendaklah menghargai sejarah dan sastera kerana kedua-duanya mempunyai kebaikannya kepada pembangunan negara.
2.     Janganlah kita suka menfitnah seseorang tanpa usul periksa.
3.     Kita hendaklah berfikiran kreatif dalam usaha merancang pembangunan negara.

_________________________________________________________________________________________________
Adat Sezaman
(Wan Nazihah Wan Abdullah)
MAKSUD

Rangkap 1
Peradaban zaman semakin berlalu dan meninggalkan kesan kepada masyarakat. Adat tradisi nenek moyang mempunyai nilai murni yang tinggi dari aspek keindahan budayanya. Budaya tradisi ini mulia dan sesuai untuk dijadikan bahan kajian. Sikap gadis timur yang penuh kesopanan dan sang teruna yang mempunyai pegangan agama yang sangat sepadan untuk digandingkan bersama di atas pelamin. Namun kini perubahan zaman telah memberi kesan dalam kehidupan masyarakat. Kini gadis yang bersopan santun amat sedikit dan lelaki yang kuat pegangan agama dan nilai ketimuran mulai lenyap ditelan arus globalisasi. Golongan tua kini berasa malu dengan sikap anak muda yang suka berkelakuan tidak sopan di tempat awam tanpa segan silu. Sehinggakan ada sesetengahnya yang melampaui batasan agama.

TEMA
Perubahan adat tradisi akibat arus modenisasi.

PERSOALAN
1.     Persoalan adat ketimuran yang tinggi nilainya. Adat timur amat indah dan mulia dalam kehidupan masyarakat terdahulu.
2.     Persoalan pergaulan bebas dalam kalangan anak muda. Pada hari ini anak muda bergaul bebas tanpa rasa malu.
3.     Persoalan perasaan kecewa golongan tua terhadap generasi muda. Golongan tua berasa sangat kecewa dan sedih apabila melihat budaya kuning yang menjadi ikutan dan sanjungan.
4.     Persoalan pegangan agama yang kuat dapat mengelakkan unsur-unsur negatif. Gadis yang mempunyai pegangan agama mampu mengelakkan diri daripada perbuatan yang negatif seperti pergaulan bebas.

BENTUK
1.     Sajak ini terdiri dari 1 rangkap.
2.     Panjang pendek baris tidak sama dengan jumlah perkataan yang tidak terkawal.
3.     Terdiri daripada 4 – 13 suku kata.
4.     Sajak berbentuk bebas.

NADA
Melankolik.

GAYA BAHASA
1.     Pemilihan kata atau diksinya indah. Contoh : warak si teruna jadi ikatan
2.     Aliterasi :pengulangan konsonan l. Contoh : terlalu mulia apabila diselidik (rangkap 1,baris 4)
       3.      Asonansi :pengulangan vokal a. Contoh : sama cantik sama padan
       4.      Metafora . Contoh : si tua berduka lara  (rangkap 1, baris 16)
       5.      Anafora.  Contoh : terlalu indah apabila dipandang (rangkap 1, baris 3)
                  Terlalu mulia apabila diselidik (rangkap 1, baris 4)
6.     Inversi.     Contoh : adat sezaman ditinggal jauh (rangkap 1, baris 4)
                   Adat agama dipandang remeh (rangkap 1, baris 21)

NILAI
1.     Nilai ketinggian budi bahasa. Pada masa dahulu anak gadis dan teruna mempunyai budi pekerti yang tinggi..
2.     Nilai ketakwaan. Ketakwaan pada ajaran agama mampu menghindarkan seseorang itu daripada melakukan perbuatan yang melampaui batas agama.
3.    Nilai jati diri. Gadis yang mempunyai jati diri pasti akan menjunjung adat ketimuran.

PENGAJARAN
1.     Kita hendaklah mengikut adat dan berpegang teguh kepada ajaran agama. Adat dan agama mampu menjadi panduan untuk mengekang masyarakat daripada melakukan perkra yang melanggar norma-norma hidup.
2.     Kita hendaklah mempunyai nilai jati diri yang utuh. Sekiranya remaja mempunyai nilai jati diri yang tinggi, mereka pasti akan menjunjung adat ketimuran.
3.     Kita hendaklah bijak memilih pasangan. Seseorang yang rasional akan memilih pasangan yang berpegang teguh kepada ajaran agama supaya terhindar daripada pergaulan bebas.
_________________________________________________________________________________________________

Tiba Waktunya
(Ghazali Lateh)
MAKSUD

Rangkap 1
Arus globalisasi telah berlaku dengan pantas meliputi pelbagai bidang. Oleh itu, manusia perlu merebut peluang yang ada selari dengan perubahan zaman.

Rangkap 2
Wanita tidak perlu memikirkan perkara-perkara yang bakal menimbulkan kekeliruan untuk membuat pilihan kerana akan merugikan masa. Perkara yang lebih penting ialah wanita perlu merebut peluang yang ada dalam usaha memajukan diri dan keluarga.

Rangkap 3
Penyajak menyarankan agar wanita zaman siber berani meluahkan idea ke tengah arena negara. Penglibatan wanita dalam pelbagai bidang mampu memacu negara mencapai wawasan.

Rangkap 4
Mereka perlu keluar daripada kongkongan kedaifan dan meleraikan semua yang mengelirukan. Mereka juga perlu berani, berkeyakinan tinggi, tabah di samping menjaga budi pekerti serta hebat semua bidang.

Rangkap 5
Penyajak mengajak wanita supaya mengangkat martabat mereka dengan kekuatan akal dan tenaga fizikal. Dengan berbekalkan keimanan dan kecekalan, penyajak menyarankan wanita menggerakkan keupayaan maksimum.

Rangkap 6
Sekaranglah masanya untuk wanita berada di puncak pentas dunia.


TEMA
Usaha mengangkat martabat wanita.

PERSOALAN
1.         Persoalan persaingan manusia dalam mengejar kemajuan pada zaman moden.
2.         Persoalan keyakinan diri dalam usaha mendapat kesenangan dalam hidup.
3.         Persoalan peranan wanita dalam masyarakat.
4.         Kepentingan wanita menjadi seorang yang berani.

BENTUK
1.         Terdiri daripada enam rangkap.
2.         Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama mengandungi lima baris, rangkap kedua mengandungi tujuh baris, rangkap ketiga mengandungi empat baris, rangkap keempat mengandungi enam baris,rangkap kelima mengandungi lima baris dan rangkap terakhir mengandungi dua baris.
3.         Jumlah patah kata antara tiga hingga enam.
4.         Jumlah suku kata antara tujuh hingga empat belas.
5.         Rima akhirnya bebas : aabcc, aaaaabb, abcc, aabbbb, aabbb dan aa.
6.         Sajak ini berbentuk bebas.

NADA
Patriotik

GAYA BAHASA
1.         Pemilihan kata atau diksinya indah.  Contoh : dari putik dan pucuk berembun kemilau.
2.         Kata ganda.  Contoh : tunas-tunas, gerak geri, sisa-sisa.
3.         Aliterasi :pengulangan konsonan n. Contoh : merebut tunas-tunas harapan yang hijau
4.         Asonansi :pengulangan vokal u. Contoh :dari putik dan pucuk berembun kemilau
5.         Sinkope. Contoh : kautanya
6.         Hiperbola.  Contoh : angin musim semakin deras dan ganas
7.         Metafora.  Contoh : tunas-tunas harapan  
8.         Imejan / simbolik.  Contoh : persada dunia ( puncak kejayaan)
9.          Inversi.  Contoh : usah kautanya persoalan dilemma

NILAI
1.     Nilai keberanian. Wanita kini perlu berani mengemukakan idea dan melibatkan diri dalam pelbagai bidanguntuk pembangunan negara.
2.     Nilai kecekalan. Kecekalan penting untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu bidang.
3.     Nilai keyakinan diri. Wanita kini perlu memiliki keyakinan diri dalam menempuh arus perdana dalam hidup.
4.      Nilai berpandangan jauh. Setiap individu perlu berpandangan jauh untuk mencapai matlamat hidup.

PENGAJARAN
1.     Wanita hendaklah berani menghadapi cabaran dalam zaman moden ini demi kejayaan diri sendiri.
2.     Kita mestilah cekal dalam meniti kehidupan demi kesejahteraan hidup.
3.     Wanita mestilah menjaga iman dan adab sopan agar terpelihara daripada godaan dunia.
4.     Wanita hendaklah berusaha mengangkat martabat mereka dengan berbekalkan kekuatan mental dan fizikal.

















No comments:

Post a Comment