PROSA TRADISIONAL TINGKATAN 4 (BPK)
Pelayaran Yang Penuh
Peristiwa
Sinopsis
Kisah
bermula apabila Awang Sulung mengikuti pelayaran Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
dengan menaiki geliung (kapal) menuju dari Negeri Bandar Mengkalih menuju ke
Negeri Semarang di Tanah Jawa. Geliung itu bergerak terlalu laju menyebabkan semua anak kapal mabuk-mabuk dan
muntah-muntah lalu tidak sedarkan diri kecuali tiga orang iaitu Tuan Puteri
Dayang Seri Jawa yang menggantikan jurumudi kapal, Si Kembang Cina, dan Awang
Sulung Merah Muda yang menyamar sebagai budak comot dan hitam. Tuan Puteri
Dayang Seri Jawa meminta Si Kembang Cina memanggil Awang Sulung menggantikannya
sebagai jurumudi dengan memberi alasan
bahawa dia sudah keletihan. Pada mulanya
Awang Sulung tidak bersetuju tetapi setelah dipujuk dengan lembut akhirnya
Awang Sulung mengambil alih tugas sebagai jurumudi. Anehnya, Awang Sulung tidak
memegang kemudi sebaliknya menyeru geliung itu supaya belayar mengikut tiupan
angin.
Setelah tiga hari belayar,
geliung itu hendak berlabuh di Pulau
Tapai untuk mengambil kayu api dan air tetapi gagal kerana laut bergelora.
Sekali lagi Awang Sulung menggunakan kesaktiannya dengan mencampakkan tulang
pelanduk putih menyebabkan air menjadi tenang. Setelah beberapa lama berlabuh barulah
penghuni geliung tersedar daripada pengsan. Sebaik sedar, jurumudi menikam
seekor ayam dengan kerisnya lalu pergi berjumpa Tuanku Nakhoda Tua dan
menyatakan bahawa dialah yang telah menyelamatkan geliung itu daripada serangan
Tuan Puteri Dayang Nuramah. Tuanku Nakhoda Tua percaya kata-kata jurumudi
kerana sewaktu kejadian baginda juga pengsan. Geliung itu berlabuh selama tiga
hari tiga malam di Pulau Tapai. Tuanku Nakhoda Tua telah berjanji akan
mengahwinkan sesiapa sahaja yang berjaya membawa geliung itu selamat sampai ke
Tanah Jawa dengan puteri baginda iaituTuan Puteri Dayang Seri Jawa.
Jurumudi menunjukkan rasa
tidak senangnya terhadap Awang Sulung kepada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
sebaliknya dia dimarahi oleh tuan puteri. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa cuba
menguji kehebatan Awang Sulung dengan menyuruhnya mengambil air dan mencari
kayu. Perkara pelik dilakukan oleh Awang Sulung kerana dia mengambil air di
tengah laut di tempat arus yang deras. Awang Sulung tidak mengambil kayu bakau
dan temu laut seperti yang diminta oleh tuan puteri, sebaliknya mengambil
batang nipah. Tuan Puteri Dayang Seri
Jawa memarahi Si Kembang Cina yang mengikut arahan jurumudi kerana memberikan
sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung sebaliknya Tuan
Puteri memerintahkan Si Kembang Cina menyiapkan hidangan istimewa kepada Awang
Sulung. Berlaku satu lagi keanehan apabila air masin yang diambil oleh Awang
Sulung yang dimasukkan ke dalam buyung suasa bertukar menjadi air manis.
Semasa hendak meneruskan
pelayaran, Tuanku Nakhoda Tua memanggil semua anak kapal memaklumkan bahawa
mereka akan melalui kawasan Laut Sekona Lingga yang banyak lanun. Tuanku
Nakhoda berjanji sesiapa yang dapat menyelamatkan baginda dan puterinya
daripada serangan lanun, dia akan dikahwinkan dengan Tuan Puteri Dayang Seri
Jawa. Semua anak kapal berasa takut, namun jurumudi telah mengambil kesempatan
dengan menonjolkan diri bahawa dia yang
akan melawan lanun-lanun itu. Semasa melintasi perairan Pulau Salah Nama, lanun
menyerang. Anak-anak kapal termasuk jurumudi lari menyelamatkan diri. Tuan
Puteri Dayang Seri Jawa meminta Awang Sulung menentang lanun tetapi Awang
Sulung membuat helah mengatakan beliau tidak layak kerana kaki dan tangannya
sakit. Apabila mendengar alasan itu, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menyuruh Si
Kembang Cina memberikan limau selimpat pagar dan sabun wangi untuk Awang Sulung
mandi. Selepas mandi dan memakai persalinan pakaian pusaka tua warisan bonda
dan menyisip keris serta menyarung pedang sakti, terserlahlah ketampanan Awang
Sulung.
Semasa lanun-lanun cuba
menaiki geliung, Awang Sulung melaungkan nama-nama ketua lanun dan menyindir
mereka supaya menawan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Mendengar suara Awang Sulung,
lanun-lanun itu ketakutan kerana mereka mengenali Awang Sulung dan berjanji
untuk menyelesaikan hutang Awang Sulung kepada Datuk Batin Alam dan Tuan Puteri
Dayang Seri Jawa. Geliung itu telah dipenuhi dengan wang batu dan wang emas. Setelah menyelesaikan
semua hutang, Awang Sulung berhasrat untuk pulang ke Bandar Mengkalih
menyebabkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sedih dan mengambil tindakan untuk
terjun ke laut tetapi sempat dihalang oleh hulubalang yang ada di situ. Tuan
puteri pengsan tetapi sedar apabila mendengar Awang Sulung berpantun dengan Si
Kembang Cina lalu tuan puteri berbalas pantun pula dengan Awang Sulung. Setelah dijamu makan dan minum serta
memenuhkan geliung dengan wang, lanun-lanun itu
kembali ke bahtera masing-masing. Selepas lanun-lanun itu pergi,
jurumudi membuat helah sekali lagi dengan mengaku dirinyalah yang menyelamatkan
geliung itu daripada serangan lanun kepada Tuanku Nakhoda. Dia menunjukkan
kerisnya yang berdarah selepas dia menikam seekor ayam. Tuanku Nakhoda Tua percaya penipuan jurumudi
dan memerintahkan Mualim Cik Mas menikahkan puterinya dengan jurumudi itu. Tuan
Puteri Dayang Seri Jawa begitu geram dengan tindakan ayahandanya yang tidak
usul periksa. Apabila mengetahui perkara sebenar Tuanku Nakhoda Tua memohon maaf
kepada Awang Sulung yang juga berketurunan raja dan mengahwinkannya dengan tuan
puteri.
Beberapa hari selepas mereka
berkahwin, geliung meneruskan pelayaran merentasi beberapa pulau sehinggalah
sampai ke Negeri Pati Talak Terangganu. Awang Sulung dijemput naik ke darat
oleh raja negeri tersebut. Semasa naik ke darat Awang Sulung ditemani oleh
jurubatu dan Bujang Selamat. Mereka membawa bersama ayam Awang Sulung yang
bernama Kinantan Suci. Kedatangan Awang Sulung ke Negeri Pati Talak menimbulkan
kehairanan rakyat negeri tersebut apabila segala alat kebesaran dan seluruh isi
alam berbunyi . Awang Sulung meminta kebenaran daripada raja untuk menyabung
ayam. Pada peringkat awal pertarungan, Kinantan Suci hampir tewas tetapi
setelah diseru oleh Awang Sulung ayam itu berjaya menaji ayam lawan sehingga terputus kepala. Selesai
menyabung ayam barulah Awang Sulung naik ke balairung seri, disambut oleh
pembesar dan rakyat negeri itu.
Tema
Kelebihan
dan kehebatan anak raja
Awang Sulung Merah Muda digambarkan memiliki
kelebihan dan kehebatan seperti boleh menggerakkan geliung tanpa memegang
kemudi, menenangkan air laut dengan mecmpakkan tulang pelanduk putih,
menukarkan air laut yang masin menjadi manis,
semasa ketibaan Awang Sulung ke Negeri Pati Talak Terengganu, alat-alat
kebesaran dan seluruh isi alam berbunyi seolah-olah menyambutnya . Satu lagi
kelebihannya, ketika ia menyeru ayamnya Kinantan Suci yang hampir tewas semasa
menyabung sehingga akhirnya dapat mengalahkan lawannya, Si Jalak .
Persoalan
1. Persoalan cinta tidak
mengenal rupa paras.
Tuan
Puteri Dayang Seri Jawa jatuh hati kepada Awang Sulung kerana melihat kelebihan
yang dimiliki oleh Awang Sulung walaupun ketika itu Awang Sulung comot dan
hitam.
2. Persoalan perasaan dengki dan iri hati
Jurumudi
sangat dengki kepada Awang Sulung yang mendapat layanan yang baik daripada Tuan
Puteri Dayang Seri Jawa sehingga sanggup menyuruh Si Kembang Cina memberi
sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung.
3. Persoalan kewibawaan
dan pengaruh yang kuat
Lanun-lanun
tidak berani menyerang geliung yang dinaiki Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
apabila mendengar suara Awang Sulung Merah Muda.
4. Persoalan
menipu untuk mencapai sesuatu tujuan
Jurumudi
menipu Tuanku Nakhoda Tua dengan mengatakan dialah yang menyelamatkan geliung
daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah dan daripada serangan lanun dengan
menunjukkan keris yang berdarah ayam. Tujuannya supaya dia dapat berkahwin
dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.
5. Persoalan menghormati tetamu
Awang
Sulung disambut oleh pembesar istana dan rakyat Negeri Pati Talak Terengganu
semasa naik ke balairung seri.
Watak
dan Perwatakan
Watak
Utama
Awang Sulung Merah Muda
·
Berasal dari Negeri
Bandar Mengkalih
·
Anak kepada Tuanku Si
Helang Laut
·
Cucu kepada Tuanku Si
Helang Mawai
·
Menyamar sebagai budak
hitam yang comot dan hodoh di geliung Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
·
Berwajah tampan –
setelah mandi dengan menggunakan limau selimpat pagar dan sabun wangi
terserlahlah ketampanannya .
·
Memiliki keris dan
pedang sakti Memiliki gigi yang cantik bercahaya
·
Berhutang dengan
Nakhoda Tua dan Datuk Batin Alam
·
Berkahwin dengan Tuan
Puteri Dayang Seri Jawa
·
Ditakuti lanun
·
Memiliki pelbagai
kesaktian – Dia dapat menenangkan air
laut yang bergelora, menukarkan air masin menjadi manis dan tidak perlu
memegang kemudi untuk menggerakkan geliung.
·
Patuh kepada peraturan
- Dia meminta Bujang Selamat bertanyakan adat bergelanggang sebelum menyabung
ayam.
·
Merendah diri –
apabila disuruh mengemudi geliung menggantikan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dia
mengatakan sekiranya berada di daratan bolehlah dia menjadi penghalau ayam,
penunggu itik atau tukang sapu rumah .
Watak
Sampingan
Tuan
Puteri Dayang Seri Jawa
·
Anak Tuanku Nakhoda
Tua
·
Mengemudi geliung
setelah jurumudi pengsan
·
Mudah jatuh cinta -
Jatuh hati kepada Awang Sulung Merah Muda setelah melihat kelebihan dan
kehebatan Awang Sulung
·
Suka menguji - dia menguji kelebihan Awang sulung dengan
menyuruhnya mengambil air
·
Prihatin - Marah
apabila Si Kembang Cina memberi sisa-sisa nasi dalam tempurung berbulu dan
ketika jurumudi dengki kepada Awang
Sulung
·
Sensitif – dia cuba
membunuh diri hendak terjun ke laut
apabila mendengar Awang Sulung hendak kembali ke Bandar Mengkalih.
Jurumudi
·
Jurumudi geliung yang
dinaiki Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
·
Penipu - Menipu Tuanku
Nakhoda Tua bahawa dialah yang telah menyelamatkan geliung
dengan menunjukkan keris berdarah
·
Pendengki – Dia berasa
dengki kepada Awang Sulung
·
Pengecut - Lari
menyelamatkan diri semasa serangan lanun
Tuanku
Nakhoda Tua
·
Ayahanda kepada Tuan
Puteri Dayang Seri Jawa
·
Mudah terpedaya –
terpedaya dengan penipuan jurumudi.
·
Insaf - berasa kesal
dengan kesilapannya yang memandang rendah kepada Awang Sulung
·
Menepati janji - Dia
mengahwinkan puterinya dengan Awang Surung Merah Muda yang berjaya menyelamat baginda dan puterinya
daripada serangan lanun.
Si
Kembang Cina
·
Orang suruhan Tuan
Puteri Dayang Seri Jawa
·
Taat perintah – Taat
akan suruhan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
·
Pandai memujuk – Dia
memujuk Awang Sulung sehingga bersetuju untuk mengemudi geliung
Latar
Latar
Tempat
Geliung
panjang
·
Tuan Puteri Dayang
Seri Jawa belayar menaiki geliung panjang dari Bandar Mengkalih menuju ke
negeri Semarang di Tanah Jawa.
Pulau
Tapai
·
Tempat Geliung
berlabuh di Pulau Tapai untuk mendapatkan kayu dan air. Pada mulanya geliung
tidak boleh berlabuh kerana laut bergelora. Awang Sulung menggunakan
kelebihannya dengan mencampakkan tulang pelanduk putih yang diikat dengan
benang banyak warna. Akhirnya air laut menjadi tenang dan geliung dapat berlabuh.
Pulau
Salah Nama
·
Sekumpulan lanun
menyerang geliung di Pulau Salah Nama. Anak-anak kapal lari menyelamatkan diri
termasuk jurumudi. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta bantuan Awang Sulung
menentang lanun. .
Negeri
Pati Talak Terangganu
·
Awang Sulung menyabung
ayamnya Kinantan Suci .
Latar
Masa
·
Tiga hari tiga malam
semasa geliung berlabuh di Pulau Tapai.
·
Waktu siang - ketika
anak-anak kapal mencari kayu api dan air di pulau.
Latar
Masyarakat
·
Golongan bangsawan –
Awang Sulung, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa, Tuanku Nakhoda Tua, Tuan Puteri
Pinang Masak, Raja Negeri Pati Talak Terengganu.
·
Golongan bawahan –
anak-anak kapal
·
Masyarakat lanun yang
melakukan rompakan di laut
·
Golongan taat kepada
perintah – Si Kembang Cina dan Bujang Selamat taat akan perintah Tuan Puteri
Dayang Seri Jawa dan Awang Sulung Merah Muda.
·
Masyarakat penipu
– jurumudi menipu Tuanku Nakhoda
Tua bahawa dialah yang telah menyelamatkan geliung
dengan menunjukkan keris berdarah
·
Masyarakat yang suka
menyabung ayam - Awang Sulung Merah Muda
menyabung ayam dan rakyat Negeri Pati Talak Terengganu
Gaya
Bahasa
·
Bahasa klasik –
geliung
·
Bahasa istana - beta, santap, kakanda, ayahanda
·
Peribahasa – enau
mencari sigai, dan lesung mendapatkan antan, berkecil hati
·
Simile – bagai pucuk
dilancarkan, bagai air di kuali, bagai purnama empat belas har ibulan, bagai
kilat sembur-menyembur
·
Puisi : Pantun :
Bintang tujuh tinggal enam,
Jatuh satu ke Gunung Daik;
Bercahayalah sepuh hilang senam
Itulah tanda emas yang baik.
Seloka:
Nobat merpati di
gunung,
Memberi salam murai di
pintu,
Berbega burung di
bumbungan,
Berkokok si tambang
denak,
Membalas kinantan
suci,
Bertutu ketitir
jantan,
Berkokok balam tembaga
tiga gaya,
Berbunyi sekalian
bunyi-bunyian.
Nilai
·
Nilai merendah diri –
contohnya Awang Sulung yang berketurunan raja sanggup menyamar sebagai budak
hitam yang comot
·
Nilai keyakinan –
contoh Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sanggup mengambil alih mengemudi kapal
sewaktu jurumudi pengsan
·
Nilai berani – contoh
Awang Sulung berani menentang lanun yang cuba menyerang geliung kenaikan Tuan
puteri Dayang Seri Jawa.
·
Nilai kasih Sayang –
contoh Awang Sulung dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa saling menyayangi
selepas berkahwin.
·
Nilai bertimbang rasa-
contohnya Awang Sulung membantu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengemudi geliung.
·
Nilai keinsafan –
contoh Tuanku Nakhoda Tua insaf dan memohon maaf atas kesalahan kepada Awang
Sulung.
·
Nilai rasional – contoh
Tuanku Nakhoda Tua sanggup menerima pandangan puterinya agar tidak terpengaruh
dengan kata-kata jurumudi.
·
Nilai hormat kepada
raja – contoh lanun tidak menyerang geliung setelah mendapati Awang Sulung
berada di atas geliung tersebut.
Pengajaran
·
Kita hendaklah
sentiasa merendah diri di mana-mana sahaja kita berada supaya kita akan
dihormati.
·
Kita hendaklah berani
menghadapi pelbagai rintangan demi mencapai matlamat.
·
Kita hendaklah bijak
agar dapat menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul.
·
Kita hendaklah
bersedia memberi bantuan terhadap orang yang memerlukan pertolongan.
·
Kita hendaklah berani
mengaku kesalahan yang dilakukan agar tidak menimbulkan kekesalan pada masa
hadapan.
______________________________________________________________________________________________
Prosa Tradisional
(Merah Silu)
Sinopsis
Kisah bermula apabila Merah Gajah yang berkahwin dengan
Puteri Betong telah dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Merah Silu dan
Merah Hasum. Pada awalnya Merah Gajah tidak mengetahui isterinya mempunyai
sehelai rambut berwarna keemasan di tengah kepala sehingga beliau terpandang
isterinya menyikat rambut. Merah Gajah mahu mencabut rambut tersebut tetapi
dihalang oleh isterinya. Sewaktu Puteri Betong tidur, Merah Gajah telah mencabut
rambut tersebut menyebabkan keluar darah dari liang-liang rambut sehingga
menyebabkan kematiannya.
Berita kematian Puteri
Betong telah menimbulkan kemarahan ayahandanya Raja Muhammad dan mengambil
tindakan membunuh Merah Gajah. Ayahanda Merah Gajah iaitu Raja Ahmad telah
bertindak balas menyerang Raja Muhammad sehingga berlaku peperangan sengit
menyebabkan kedua-duanya terbunuh termasuk sebilangan besar rakyat. Hanya yang
tinggal Merah Silu dan Merah Hasum serta beberapa rakyat yang masih hidup dan
mengaku taat setia kepada kedua-duanya untuk terus tinggal di negeri Semerlanga
itu.
Merah Silu dan adiknya Merah
Hasum berhasrat meninggalkan negeri itu kerana tidak ada sesiapa lagi kaum
kerabatnya yang tinggal. Mereka berdua keluar meninggalkan negeri Semerlanga
menuju ke sebuah negeri bernama Beruana. Mereka membuka perkampungan di tepi
sungai. Suatu hari ketika di sungai, Merah Silu terlihat banyak ikan dan dia
pergi ke hulu sungai menahan bubu. Beberapa kali bubu yang ditahannya dipenuhi
dengan cacing gelang-gelang. Akhirnya dia mengambil keputusan membawa balik
cacing gelang-gelang itu dan merebusnya di dalam kawah. Cacing itu telah
bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak menyebabkan Merah Silu menjadi kaya.
Merah Hasum hanya diam
apabila mendengar berita Merah Silu menjadi kaya. Pada suatu hari, Merah Silu
menangkap kerbau liar tetapi tindakannya itu tidak disenangi oleh Merah Hasum
kerana pada pendapatnya kerja itu tidak berfaedah dan hanya memalukan dirinya
sebagai saudara kepada Merah Silu. Merah Hasum telah meminta Merah Silu
menghentikan perbuatan tersebut dan menyuruh Merah Silu keluar dari negeri itu
jika tidak mahu mendengar katanya. Akhirnya Merah Silu mencari petempatan baru
dengan membawa segala harta dan kerbaunya. Merah Silu tiba di hulu Karang dan
menetap di situ tetapi kehadirannya tidak disenangai oleh penduduk kampung
kerana kerbau-kerbau itu memakan tanaman mereka.
Merah Silu berpindah lagi
ke sebuah negeri bernama Buluh Telang. Di sini beliau bertemu dengan Megat
Iskandar dan menyatakan hasratnya untuk tinggal di negeri tersebut dan
menganggap Megat Iskandar sebagai bapanya. Megat Iskandar bersetuju membenarkan
Merah Silu tinggal di situ dan boleh memelihara kerbau kerana ada ladang yang
luas. Merah Silu suka menyabung ayam dan selalu memberi kerbau sebagai hadiah
kepada sesiapa yang menyabung ayam dan yang menontonnya. Megat Iskandar dengan
persetujuan pembesar dan rakyat telah melantik Merah Silu menjadi raja di Rimba
Jerun. Sultan Maliku’l- Nasar tidak bersetuju dan menyerang Merah Silu.
Beberapa siri peperangan berlaku antara Merah Silu dengan Sultan Maliku”l-
Nasar dan akhirnya sultan tewas dan Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun.
Tema
Ketabahan seorang anak raja dalam menghadapi cabaran
hidup.
Merah Silu menjadi
yatim piatu setelah kematian kedua-dua
ibu bapa dan terpaksa merantau dengan adiknya Merah Hasum meninggalkan
Semerlanga dan membuka petempatan baru di Beruana. Merah Silu terpaksa
berpindah lagi kerana sikapnya tidak
disenangi oleh adiknya. Dia berpindah ke Hulu Karang tetapi tidak disukai oleh
penduduk di situ kerana kerbau-kerbaunya telah merosakkan tanaman mereka. Merah
Silu menetap pula di Buluh Telang apabila dipelawa oleh Megat Iskandar. Merah
Silu menghadapi beberapa peperangan dengan Sultan Maliku’l-Nasar sehingga dia
dirajakan di Rimba Jerun.
Persoalan
1. Persoalan perselisihan antara adik-beradik
Perselisihan faham antara Merah Silu dengan Merah Hasum
kerana tindakan Merah Silu yang
menangkap kerbau liar tidak disukai oleh Merah Hasum dan dianggap memalukannya.
2. Persoalan perkara di luar logik akal
Keistimewaan seseorang keturunan raja digambarkan dengan
peristiwa aneh misalnyanya cacing gelang-gelang yang direbus oleh Merah Silu
bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak.
3. Persoalan keberanian anak raja
Merah Silu menghadapi beberapa peperangan dengan Sultan
Maliku’l-Nasar sehingga dia dirajakan di Rimba Jerun.
4. Persoalan
sikap pemurah dalam kalangan masyarakat
Merah Silu yang suka menyabung ayam memberi hadiah seekor kerbau kepada orang yang terlibat menyabung ayam dan juga
kepada yang hanya datang melihat sahaja malah dia juga memberi semula wang
pertaruhan kepada mereka yang kalah.
5. Persoalan
kegemaran berjudi dalam kalangan masyarakat
Merah Silu suka menyabung ayam dan mengunakan
wang pertaruhan .
Watak
dan Perwatakan
Watak Utama
Merah Silu
·
Anak sulung Merah Gajah dengan Puteri Betong
·
Mempunyai saudara bernama Merah Hasum
·
Menjadi yatim piatu sejak kecil setelah kematian ibu dan
ayahnya
·
Kaya - Cacing
gelang-gelang yang direbusnya bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak.
·
Suka menyabung ayam – Ramai juara sabung ayam datang
bermain menyabung dengan Merah Silu.
·
Seorang yang tidak berputus-asa- Merah Silu berulang kali
menahan bubu walaupun hasilnya hanya cacing gelang-gelang.
·
Seorang yang berani-
Merah Silu terlibat dalam beberapa siri peperangan.
·
Seorang yang pemurah- Merah Silu suka memberi hadiah
kerbau kepada sesiapa yang terlibat dalam sabung ayam.
Watak Sampingan
1.
Merah Hasum
o
Adik kepada Merah Silu
o
Menghormati saudara- Dia bersetuju dengan pandangan Merah
Silu untuk berpindah dari negeri Semerlanga.
o
Tidak suka perkara sia-sia- Dia marahkan Merah Silu
kerana menangkap kerbau liar.
o
Bersikap tegas – Dia menyuruh Merah Silu
meninggalkan Beruana jika tidak mahu
menghentikan perbuatan menangkap kerbau liar.
2.
Megat Iskandar
o
Saudara kepada Megat Kedah dan Sultan Maliku”l-Nasar.
o
Tinggal di Buluh Telang.
·
Mempunyai ladang yang luas.
·
Bapa angkat kepada Merah Silu.
·
Tetap pendirian - Dia berperang di Kumat dengan
saudaranya Sultan Maliku’l-Nasar yang tidak bersetuju Merah Silu menjadi raja
di Rimba Jerun
·
Seorang yang menghormati tetamu - Dia menjamu Merah Silu
semasa kedatangan Merah Silu ke Buluh Telang.
3.
Sultan Maliku”l- Nasar
·
Adik kepada Megat Iskandar dan Megat Kedah
·
Tegas- Dia tidak bersetuju dengan tindakan Megat Iskandar
untuk melantik Merah Silu di Rimba Jerun.
·
Mempertahankan haknya sebagai raja di Rimba Jerun
·
Berani – Dia berperang dengan Megat Iskandar di Kumat.
Latar
Latar Tempat
1.
Negeri Semerlanga
·
Peperangan antara Raja Ahmad dengan Raja Muhammad
menyebabkan kedua-duanya terbunuh.
·
Tempat asal Merah Silu dan Merah Hasum sebelum keluar
merantau.
2.
Beruana
·
Perkampungan baru yang dibuka oleh Merah Silu dan Merah
Hasum.
·
Cacing gelang-gelang yang memenuhi bubu Merah Silu yang
ditahannya di hulu sungai telah direbus dan bertukar menjadi emas dan buihnya
menjadi perak menyebabkan Merah Silu
menjadi kaya.
3.
Kerbau Kampung
·
Tempat Merah Silu menangkap kerbau liar.
4.
Hulu Karang
·
Merah Silu tidak disukai oleh penduduk di situ kerana
kerbau-kerbau Merah Silu merosakkan tanaman padi dan pisang mereka.
5.
Negeri Buluh Telang
·
Menetap di situ setelah dipelawa oleh Megat Iskandar.
·
Tempat Merah Silu mengamalkan hobinya menyabung ayam.
6.
Rimba Jerun
·
Peperangan antara Sultan Maliku”l-Nasar dengan Merah
Silu.
·
Merah Silu menjadi raja di sini setelah Sultan
Maliku’l-Nasar ditewaskan oleh Megat Iskandar di Kumat.
Latar Masa
1. Bermula dari kelahiran
Merah Silu hingga dilantik menjadi raja di Rimba Jerun.
2. Waktu malam – semasa
Puteri Betong tidur dan Merah Gajah mencabut sehelai rambut Puteri betong yang
berwarna keemasan menyebabkan kematiannya.
3. Waktu siang - Merah Silu pergi ke tepi sungai dan ternampak
banyak ikan.
Latar Masyarakat
1. Golongan bangsawan –
Merah Silu, Merah Hasum, Puteri Betong, Merah Gajah, Raja Ahmad, Raja Muhammad,
Megat Iskandar,Megat Kedah, Sultan Maliku’l-Nasar
2. Masyarakat yang suka
menyabung ayam - Ramai juara sabung ayam datang bermain
menyabung dengan Merah Silu.
3. Golongan bawahan – orang
yang diupah untuk mengorek lubang besar (anderak) bagi menangkap kerbau liar
·
Golongan askar – golongan yang terlibat dalam beberapa
siri peperangan.
·
Masyarakat yang suka membantu - Megat Iskandar mempelawa Merah Silu menetap di situ.
Gaya Bahasa
1. Bahasa Klasik – anderak,
dibantunnya), senawat
2. Bahasa istana - baginda, adinda, kakanda , anakanda
3. Bahasa Arab – berkat ,
Allah Taala
4. Personifikasi – matahari
mati
5. Metafora – kerbau jalang
6. Hiperbola
- Bukit yang dilalui Merah Silu menjadi lekuk
bekas kerbau itu berjalan .
- Besarnya
anderak itu sekadar muat kerbau dua tiga ratus.
Nilai
1. Nilai Taat Setia – rakyat mematuhi
perintah raja untuk berperang sehingga
melibatkan banyak kehilangan nyawa.
2. Nilai Murah Hati - Merah Silu menghadiahkan seekor kerbau kepada setiap
orang yang hadir ke gelanggang sabung ayam.
3. Nilai Keberanian - - Merah Silu berani
berperang menentang Sultan Maliku’l-Nasar untuk menjadi raja di Rimba Jerun.
4. Nilai Berdikari – Merah Silu keluar mencari petempatan baru sendirian setelah
dihalau oleh Merah Hasum.
Pengajaran
·
Kita hendaklah menyelesaikan masalah yang timbul melalui
rundingan bukannya peperangan.
·
Kita hendaklah berani mempertahankan maruah supaya hak
kita tidak diganggu- gugat.
·
Kita hendaklah menghormati tetamu.
·
Kita janganlah menganiayai binatang.
·
Kita hendaklah menyelidik dahulu sesuatu perkhabaran
sebelum mengambil sebarang tindakan.
____________________________________________________________________________________________
Prosa Tradisional
(Hikayat Indera Nata)
Sinopsis
Kisah bermula bermula apabila Indera Jenaka tiba ke
negeri Rom setelah sekian lama mengembara dan sampai ke rumah bondanya Si Batu
Kembar . Bondanya bertanya tentang Si Piatu. Indera Jenaka memberitahu bahawa
Si Piatu itu sebenarnya adalah Indera Nata yang berani dengan segala binatang
buas dan boleh bercakap dengan segala binatang. Indera Nata telah menyeberangi
lautan dengan bantuan ular sakti ke negeri Pattani. Indera Nata juga telah
menyelamatkan Indera Jenaka daripada dibaham binatang buas. Tuanku Syah Alam
mengkagumi Indera Nata apabila mendengar cerita daripada Indera Jenaka.
Kisah selanjutnya, Indera
Nata pergi mengembara dan ternampak sebuah bukit yang terlalu tinggi dan
terdapat sebuah rumah di situ. Di sebelah rumah tersebut terdapat sebuah
mahligai dan dia melihat tujuh orang puteri di dalamnya . Indera Nata
memperkenalkan dirinya sebagai anak Raja Rom dan memberitahu tujuannya datang
atas perintah ayahandanya mencari gajah bergadingkan emas. Puteri-puteri itu
gembira dengan kedatangan Indera Nata dan memperkenalkan diri mereka yang
berasal dari negara yang berlainan. Salah seorang puteri tersebut iaitu Tuan
Puteri Cendera Kesuma memberitahu mereka telah ditawan oleh sepasang suami isteri raksasa untuk dimakan
apabila mereka dewasa. Puteri Cedera Kesuma bercadang meminta pertolongan
raksasa untuk mencari gajah bergading emas bagi membantu Indera Nata
mendapatkan gajah itu segera.
Apabila raksasa pulang,
Indera Nata disembunyikan di dalam peti emas dan puteri-puteri itu membuat
helah kepada raksasa dengan mengatakan jika hendakkan mereka cepat dewasa dan
boleh dimakan hati mereka , perlulah mencari gajah bergading emas. Raksasa
pergi ke hutan mencari gajah bergading emas dan secara kebetulan terserempak
dengan Raja Rom yang menaiki gajah bergading emas dan pengikut-pengikutnya
pergi berburu . Raksasa berasa gembira dan telah membunuh mereka semua dan
membawa balik gajah bergading emas.
Sekali lagi Tuan Puteri Cendera Kesuma
membuat helah supaya raksasa mencari kijang putih bertanduk emas dan memberikan
kain hitam untuk dicuci sampai putih sebagai tanda sayang raksasa kepada
mereka. Raksasa lelaki keluar mencari kijang putih bertanduk emas sementara
raksasa perempuan pergi mencuci kain hitam supaya menjadi putih. Pada masa
itulah, Indera Nata membawa ketujuh-tujuh puteri melarikan diri dengan menaiki
gajah bergading emas bersama semua harta dalam mahligai itu.
Kedua-dua raksasa itu gagal mencari kijang
putih bertanduk emas dan memutihkan kain yang hitam, mereka kembali ke mahligai
dan mendapati gajah bergading emas dan ketujuh-tujuh puteri telah hilang.
Kedua-dua raksasa terlalu marah dan segera mengikuti kesan tapak kaki gajah dan
akhirnya ternampak ketujuh-tujuh puteri bersama Indera Nata di atas gajah. Indera Nata dan ketujuh-tujuh puteri menangis
ketakutan apabila mendengar suara raksasa sehingga sampai ke tepi pantai.
Indera Nata meminta Betara Gangga dengan menggunakan gemala hikmat dan Betara
Gangga mengarahkan ular sakti dan naga membawa Indera Nata dan ketujuh-tujuh
puteri menyeberangi lautan. Ular sakti dan naga tersebut membawa mereka semua
ke seberang. Raksasa yang tiba di tepi pantai cuba menarik Indera Nata dan
ketujuh-tujuh puteri di seberang tetapi ular sakti dan naga telah menarik
raksasa ke tengah laut menyebabkan kedua-dua raksasa itu mati.
Indera Nata bersama
ketujuh-tujuh puteri telah berjalan selama tujuh hari tujuh malam sehingga
sampai ke rumah bondanya Tuan Puteri Cenderawati. Bondanya sangat gembira
melihat kedatangan mereka. Indera Nata
menceritakan semua peristiwa yang berlaku dan ketujuh-tujuh puteri
bercerita tentang diri mereka kepada Tuan Puteri Cederawati. Mereka semua
tinggal bersama Tuan Puteri Cenderawati.
Tema
Pengembaraan Anak Raja Menempuh Pelbagai Cabaran
Indera Nata
mengembara mencari gajah bergading emas atas perintah ayahandanya, Raja Rom.
Pelbagai cabaran dihadapi dalam pengembaraan tersebut antaranya menemui
binatang buas di dalam hutan, mendaki bukit yang terlalu tinggi, menyelamatkan
tujuh orang puteri daripada tawanan raksasa, dan hampir ditangkap dan dibunuh
oleh raksasa.
Persoalan
1.
Persoalan keberanian dan kehebatan anak raja
·
Indera Nata berani menentang binatang buas dan
menyelamatkan Indera Jenaka daripada dibaham binatang buas yang terdapat di
dalam hutan.
·
Indera Nata berani masuk ke mahliga raksasa dan
menyelamatkan tujuh orang puteri.
·
Indera Nata mempunyai kebolehan bercakap atau berinteraksi
dengan haiwan.
2.
Persoalan kasih
sayang seorang ibu terhadap anaknya
·
Si Batu Kembar memeluk dan mencium anaknya Indera Jenaka
yang baru balik darpada mengembara.
·
Ibu Indera Nata iaitu Tuan Puteri Cenderawati sangat
bimbang dan bersedih ketika menunggu kepulangan anaknya itu daripada
mengembara.
3.
Persoalan kebijaksanaan untuk mendapatkan sesuatu dan
menyelamatkan diri
·
Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah dengan menyuruh
raksasa mencari gajah bergading emas sekiranya raksasa mahukan mereka cepat besar,
tetapi sebenarnya dia bertujuan membantu Indera Nata mendapatkan gajah
bergading emas segera.
·
Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah sekali lagi
dengan menyuruh raksasa lelaki mencari kijang putih bertanduk emas dan raksasa
perempuan mencuci kain hitam menjadi putih sebagai tanda sayang kepada mereka.
Sebenarnya dia bertujuan untuk melarikan diri bersama Indera Nata dan
puteri-puteri yang lain semasa ketiadaan raksasa.
4.
Persoalan tolong-menolong sesama manusia
·
Indera Nata membantu menyelamatkan Indera Jenaka daripada
serangan binatang buas di hutan.
·
Indera Nata membantu menyelamatkan ketujuh-tujuh puteri
daripada tawanan raksasa.
Watak dan Perwatakan
Watak
Utama
Indera Nata
·
Anak kepada Raja Rom dan Tuan Puteri Cenderawati
·
Digelar Si Piatu
·
Sangat disayangi oleh ibunya - Ibu Indera Nata iaitu Tuan
Puteri Cenderawati sangat bimbang dan bersedih ketika menunggu kepulangan
anaknya itu daripada mengembara.
·
Mempunyai kesaktian – Indera Jenaka hairan melihat
kelakuan Indera Nata yang boleh bercakap dengan binatang.
·
Seorang yang berani –Menyelamatkan Indera Jenaka daripada
serangan binatang buas
·
Seorang yang baik hati - Menyelamatkan tujuh orang puteri
daripada tawanan raksasa.
Watak Sampingan
Tuan
Puteri Cendera Kesuma
·
Anak Raja Mesir
·
Memiliki rupa paras yang cantik
·
Menjadi tawanan raksasa .
·
Petah berkata-kata -Tuan Puteri bukan sahaja cantik malah
pandai berkata-kata dan berpantun.
·
Bijaksana – pandai membuat helah untuk membantu Indera
Nata dan untuk menyelamatkan diri daripada raksasa
Raksasa
suami isteri
·
Tinggal di mahligai di atas sebuah bukit yang tinggi.
·
Kejam – menawan tujuh orang puteri untuk dijadikan
makanan.
·
Besar, kuat dan gagah. – gerakan mereka berbunyi seperti
rebut
·
Pemarah dan ganas – membunuh semua rombongan Raja Rom
yang pergi berburu untuk mendapatkan gajah bergading emas yang dinaiki oleh
Raja Rom
·
Mudah diperdaya – percaya helah yang dibuat oleh Tuan
Puteri Cendera Kesuma
Indera
Jenaka
·
Anak Tuanku Syah Alam dan Si Batu Kembar
·
Menghargai jasa – Indera Jenaka menghargai Indera Nata
dengan menceritakan kebaikan dan kelebihan Indera Nata kepada kedua-dua ibu
bapanya.
·
Seorang yang berterus terang - Memberitahu kedua-dua ibu
bapanya siapa sebenarnya Si Piatu iaitu Indera Nata.
Latar
Latar
Tempat
i.
Negeri Rom (rumah Si Batu Kembar)
·
Indera Jenaka menceritakan kepada ibu bapanya siapa Si
Piatu dan darihal Indera Nata
ii.
Negeri Pattani
·
Indera Nata menentang haiwan buas dan menyelamatkan
Indera Jenaka dan Indera Nata boleh bercakap dengan haiwan.
iii.
Sebuah bukit yang tinggi
·
Tempat tinggal sepasang raksasa suami isteri di sebuah
mahligai yang indah bersama-sama tujuh orang puteri yang ditawan.
iv.
Sebuah peti emas
·
Tempat Indera Nata disembunyikan oleh Tuan Puteri Cendera
Kesuma semasa raksasa balik ke mahligai.
v.
Tepi Laut / Pantai
·
Tempat isteri raksasa mencuci kain hitam supaya menjadi
putih.
Rumah Bonda Indera Nata (Tuan Puteri
Cenderawati)
·
Kepulangan Indera Nata bersama tujuh puteri.
·
Ketujuh-tujuh puteri menetap di situ.
Latar
Masa
·
Waktu pagi – raksasa keluar mencari kijang putih
bertanduk emas.
·
Waktu petang – raksasa tidur.
·
Waktu siang – raksasa keluar mencari gajah bergading
emas.
·
Tujuh hari tujuh malam – perjalanan Indera Nata pulang ke
rumah bondanya bersama tujuh puteri.
·
Waktu tengah malam – Indera Nata tiba di rumah bondanya
bersam tujuh puteri.
Latar
Masyarakat
·
Golongan bangsawan – Raja Rom, Tuanku Alam Syah, Tuan
Puteri Cenderawati, Tuan Puteri Cendera Kesuma
·
Golongan bawahan –
rakyat yang mengikut Raja Rom pergi berburu yang semuanya dimakan oleh
raksasa
·
Masyarakat taat kepada perintah – Indera Nata mengikut
perintah Raja Rom mengembara mencari gajah bergading emas
·
Masyarakat yang memiliki kesaktian dan hikmat- Indera Nata boleh berinteraksi dan bercakap
dengan haiwan, mempunyai gemala hikmat yang boleh menyeru dan meminta bantuan
Betara Gangga.
·
Masyarakat raksasa – sepasang suami isteri raksasa yang
tinggal di atas sebuah bukit.
·
Masyarakat haiwan – gajah bergading emas, ular sakti dan
naga
Gaya
Bahasa
·
Bahasa Klasik
– sebermula, hatta
·
Bahasa istana - tuanku ,
kakanda , anakanda .
·
Simile – maka ia mendengar bunyi seperti ribut , ia
berani dengan segala binatang itu adalah ia berkata-kata seperti ia berkata
dengan manusia juga.
·
Puisi – pantun
contoh:
Ikan pari bertelur beribu
Bertelur sejengkal juga;
Hujan arah ke langit biru,
Tawakalku dapat juga.
·
Bahasa Arab
– Allah
·
Hiperbola –
gajah bergadingkan emas , kijang putih bertandukkan emas , parasnya
gilang-gemilang, cahayanya kilau-kilauan.
Nilai
·
Nilai Bijaksana
– Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah untuk melepaskan diri.
·
Nilai Keberanian – Indera Nata
berani masuk ke mahligai raksasa dan menyelamatkan tujuh puteri.
·
Nilai Kasih Sayang – Tuan Puteri Cenderawati amat menyayangi Indera Nata.
·
Nilai Tolong-menolong - Indera Nata
menyelamatkan tujuh puteri daripada
tawanan raksasa dan Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah supaya
raksasa mencari gajah bergading emas bagi membantu Indera Nata.
Pengajaran
·
Kita mestilah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai
sesuatu yang dihajati.
·
Kita mestilah saling menyayangi antara satu sama lain
supaya dapat hidup harmoni.
·
Kita hendaklah bijak menyelesaikan masalah yang timbul.
·
Kita mestilah menghargai budi yang diterima dan membalas
dengan sebaik-baiknya.
·
Kita hendaklah tolong-menolong antara satu sama lain.
Prosa Tradisional
(Hikayat Khoja Maimun)
SINOPSIS
Bab 1 :
Khoja Maimun
yang berasal dari negeri Ajam, mempunyai seorang isteri yang cantik
bernama Bibi Zainab. Pada suatu hari, mereka pergi ke pekan lalu membeli seekor
burung Bayan jantan dengan harga seribu dinar. Burung itu sungguh istimewa
kerana boleh membuat ramalan. Menurut ramalannya, dalam masa tiga hari lagi
Khoja Maimun akan mendapat keuntungan hasil daripada menjual sanbal (
wangi-wangian). Hasil keuntungan tersebut, Khoja Maimun turut membeli seekor
burung tiung betina.
Khoja Maimun keluar berniaga dan
meninggalkan isteri tercintanya di rumah. Pemergiannya menyebabkan Bibi Zainab
berasa sunyi lalu duduk di tepi jendela. Pada ketika itu dia terpandang anak
raja negeri yang sangat kacak dan mereka saling
jatuh hati. Bibi Zainab ingin berjumpa dengan anak raja itu lalu meminta
nasihat burung tiung. Namun, tiung melarangnya dengan memberi nasihat bahawa
perbuatan tersebut bertentangan dengan hukum Allah. Bibi Zainab amat marah
mendengar nasihat itu, lantas menghempas tiung sehingga mati. Seterusnya, dia
meminta pandangan daripada Bayan pula. Bayan berusaha melalaikan Bibi Zainab
dengan bercerita kepadanya.
Bab 2: Cetera Pertama
Cetera pertama berkisar tentang
Kisah Bayan yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar. Isteri saudagar berbuat
demikian kerana mengesyaki bahawa Bayan telah membocorkan dia telah bermukah
dengan seorang fakir kepada suaminya. Bayan menyembunyikan dirinya di dalam
saluran tempat membuang air beras menyebabkan isteri saudagar tersebut
mengganggap Bayan telah mati.
Isteri saudagar menberitahu
kepada suaminya bahawa bayan telah mati akibat dimakan kucing. Namun, helah itu
diketahui suaminya menyebabkan saudagar tersebut marah dan menghalau isterinya.
Dia telah pergi ke kubur Tuan Sheikh Wali Allah untuk memohon doa agar suaminya
menerimanya kembali. Setelah bulu bayan tumbuh kembali, dia keluar dari tempat
persembunyian lalu terbang ke kubur Tuan Syeikh untuk menyuruh isteri saudagar
bertaubat. Bayan menyuruh isteri saudagar mencukur rambut dan bulu kening
kerana ingin membalas dendam. Bayan menyatakan hasrat untuk membantu isteri
saudagar agar dapat kembali ke pangkuan suaminya. Bayan menemui saudagar dan
menjelaskan bahawa bukan isterinya yang membunuh Bayan, menyebabkan isterinya
diterima kembali.
Bayan menyuruh Bibi Zainab
menemui anak raja yang dicintainya, malangnya hari telah siang. Pada hari yang
lain Bibi Zainab sekali lagi ingin keluar menemuai anak raja itu, namun Bayan
telah bercerita tentang Hikayat Taif untuk melalaikannya.
Bab 3: Cetera Kedua
Taif menemui Raja Tabristan kerana Raja Arab
tidak menghargai jasa yang dicurahkannya selama ini. Kehadirannya dialu-alukan
dan Raja Tabristan yang menganugerahinya emas, perak dan tempat penginapan.
Dalam suatu majlis keramaian, Taif telah menyatakan hasrat untuk melawan Isteri
Syah Alam sehingga menyebabkan rajanya murka.
Suatu malam ketika Taif sedang
berkawal, Raja Tabristan terdengar suara perempuan. Raja menitahkan Taif untuk
menyiasat perkara tersebut. Menurut perempuan itu, jika Taif inginkan daulat
raja Tabristan bertambah dan umur baginda dipanjangkan, dia harus membunuh
anaknya sendiri. Taif begitu setia dan rela melakukan perkara tersebut, namun
dihalang oleh perempuan itu kerana dia sebenarnya hanya ingin menguji Taif.
Peristiwa itu sebenarnya diintip
oleh Raja Tabristan. Ketaatan Taif menyebabkan dia dianugerahi sebuah negeri
dan harta yang banyak. Cerita itu sekali lagi melalaikan Bibi Zainab
menyebabkan dia tidak berkesempatan untuk bertemu kekasihnya. Malam berikutnya,
Bayan bercerita lagi.
Bab 4 : Cetera
Ketiga
Terdapat seorang suami yang
begitu mencemburui isterinya menyebabkan segala tindak tanduk isterinyanya
dikawal. Isterinya telah bercerita tentang seorang suami yang terlalu memahami
isterinya dan tidak akan marah walaupun isterinya berlaku sumbang terhadapnya.
Hal ini demikian kerana, dia pernah melihat suami yang cemburu turut diduakan
oleh isterinya. Akibat terlalu cemburu si suami sanggup menjadikan dirinya
seekor gajah untuk membawanya berjalan-jalan, kerana bimbang isterinya akan
bersenda gurau dengan lelaki lain.
Isteri kepada suami yang cemburu
itu selalu menegaskan kepada suaminya bahawa dia setia, namun kesetiaannya
masih diragui. Oleh sebab itu, dia membekalkan bunga dan sehelai kain kesumba
ketika suaminya pergi belayar. Jika isterinya curang, bunga itu akan layu dan
kain itu akan luntur
Bunga yang dibawa oleh saudagar
(suami) itu tidak layu walaupun ketika itu musim kemarau. Raja di negeri itu
tertanya-tanya akan keunikan bunga itu menyebabkan saudagar itu menceritakan
hal sebenar. Kebijaksanaan isteri saudagar itu menyebabkan Raja ingin menguji
kesetiaan isteri saudagar dengan menghantar seorang hamba raja menemuinya namun gagal. Seterusnya, tiga orang hamba
dihantar untuk menguji kesetiaan isteri saudagar tadi, namun turut mengalami
kegagalan. Akhirnya raja sendiri yang pergi untuk menguji isteri saudagar tadi.
Isteri saudagar menasihati Raja agar takut akan azab Allah dan segera
bertaubat.
Sekali lagi Bibi Zainab gagal
menemui kekasihnya. Hajatnya masih tidak kesampaian apabila Bayan bercerita
pula kisah Hikayat Serimala dengan Pandai Emas. Akhirnya, Bibi Zainab insaf dan
sedar bahawa seorang perempuan mestilah taat kepada suaminya.
TEMA
Nilai etika yang harus diutamakan
oleh golongan wanita terutamanya para isteri.
Cerita-cerita yang disampaikan oleh
Bayan berkisar tentang pentingnya kesetiaan seseorang isteri dan perlu memiliki etika yang murni untuk
menghindarkan daripada berlaku curang.
PERSOALAN
1. Persoalan kebijaksanaan melaksanakan sesuatu tindakan.
Apabila melihat
Bibi Zainab menghempas burung tiung sehingga mati, bayan berpura-pura tidur.
2.
Persoalan kecurangan seorang isteri
Semasa ketiadaan suami, Bibi Zainab jatuh hati
dengan anak raja.
3. Persoalan kewajipan menjalankan tanggungjawab terhadap
keluarga.
Khoja Maimun keluar berniaga untuk mencari
rezeki.
4.
Persoalan kejujuran dalam sebuah perhubungan
Isteri saudagar jujur terhadap suaminya
walaupun banyak lelaki cuba mendekatinya.
PLOT
Secara
keseluruhannya plot prosa tradisional digarap mengikut kronologi. Terdapat
empat peringkat garapan plot iaitu:
i.
Permulaan
Khoja Maimun digambarkan sebagai seorang saudagar yang
kaya dan memiliki isteri yang cantik bernama Bibi Zainab. Mereka membeli burung
bayan jantan dan tiung betina. Khoja Maimun mengusahakankan perniagaannya di
tempat lain tanpa membawa isterinya.
ii.
Perkembangan
Bibi Zainab rindu akan suaminya yang pergi belajar. Bibi
Zainab jatuh hati kepada anak raja. Dalam Cetera Pertama, Bayan bercerita kisah
seekor burung Bayan yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar. Manakala dalam
cetera kedua, Bayan bercerita kisah Taif dengan Raja Tabristan. Seterusnya
dalam Cetera Ketiga, Bayan bercerita kisah suami yang amat cemburu kepada
isterinya.
iii.
Konflik
Bibi Zainab ingin bertemu dengan anak raja semasa
ketiadaan suaminya.
iv.
Klimaks
Bibi Zainab berpakaian cantik untuk bertemu kekasihnya.
Bayan menasihati Bibi Zainab supaya tidak berpakaian yang keterlaluan kerana
boleh mendatangkan fitnah.
v.
Peleraian
Bibi Zainab melupakan hasrat untuk bertemu kekasihnya
kerana lebih berminat dengan cerita Hikayat Serimala dengan Pandai Emas.
Akhirnya Bibi Zainab insaf kerana berniat curang terhadap suaminya.
WATAK DAN PERWATAKAN
Watak Utama
Burung Bayan
·
Bersaiz kecil
·
Taat pada tuannya – Burung Bayan cuba mengelakkan Bibi
Zainab daripada berlaku curang kepada tuannya Khoja Maimun.
·
Pandai membuat ramalan – Ramalan Burung Bayan bahawa akan
datang kafilah untuk membeli sanbal benar-benar terjadi.
·
Bijak bercerita – Cerita yang disampaikan Bayan menarik
hati Bibi Zainab sehingga dapat mengelakkannya daripada berlaku curang.
Watak Sampingan
Bibi Zainab
·
Cantik
·
Penyayang terhadap suami – Dia ingin bersama-sama
suaminya pergi berlayar.
·
Curang – Dia jatuh hati kepada putera raja dan ingin
berjumpa pada waktu malam.
·
Kejam - Dia membunuh Tiung yang cuba menasihatinya.
Khoja Maimun
·
Bertanggungjawab – Dia pergi belayar demi mencari rezeki.
·
Penyayang – Dia terlalu kasih akan isterinya Bibi Zainab.
·
Bijak – Khoja Maimun bijak menjalankan perniagaan.
Taif
·
Setia – Taif tetap berbakti kepada raja walaupun dimurkai
oleh raja.
·
Rela berkorban - Dia sanggup kematian anaknya demi Raja
Tabristan.
·
Taat perintah – Taif menurut perintah Raja Tabristan yang
mahu dia menyiasat tentang bunyi suara yang didengar.
LATAR
Latar Masa
Waktu malam
·
Bibi Zainab berhias dengan cantik untuk menemui kekasih
hatinya.
Waktu pagi
·
Bayan selesai bercerita pada waktu pagi .
Latar Tempat
i.
Negeri Ajam
·
Khoja Maimun menetap di situ
ii.
Pekan
·
Khoja Maimun dan Bibi Zainab membeli burung bayan dan
tiung di pekan.
iii.
Jendela
·
tempat Bibi Zainab melihat anak raja
iv.
Kubur Tuan Syeikh
·
Isteri saudagar berdoa di kubur dan bertemu semula dengan
Bayan.
Latar Masyarakat
1. Masyarakat yang
mementingkan ajaran agama -Isteri saudagar menasihati raja agar bertaubat
2. Masyarakat yang menurut
hawa nafsu - Bibi Zainab tidak dapat menahan perasaan berahinya terhadap anak
raja
3. Masyarakat yang pemurah
- Raja Tabristan menganugerahi Taif
pelbagai hadiah.
4. Masyarakat yang jujur
memikul amanah yang diberikan - Taif
begitu setia dan jujur kepada Raja Tabristan.
TEKNIK PENCERITAAN
Pemerian
Pengarang
menceritakan suasana ketika Khoja maimun hendak pergi belayar –
Setelah sudah maka Khoja Maimun pun
bermohonlah kepada isterinya lalu dipeluk diciumnya akan isterinya yang cantik
molek itu, muda molek dengan kelakuannya yang baik dengan tiada yang tidak
baiknya itulah adanya, antara keduanya itu bertangisan dengan air matanya serta
menaruh akan dua ekor burung itu. Maka Khoja maimun pun pergilah belayar.
Dialog
Dialog antara Khoja Maimun dengan penjual
burung bayan di pekan –
“Hendakkah
tuan hamba membeli Bayan?”
Maka sahut Khoja Maimun, “Berapa harganya?” Maka kata
orang itu, “Seribu dinar Bayan hamba
ini harganya.”
Monolog dalaman
Taif pun fikir di dalam hatinya, “Jikalau aku katakan
yang sebenarnya pada raja bahawa sekali-kali raja tiada percaya seperti kataku.
Jikalau demikian baik aku katakan yang lainlah.”
GAYA BAHASA
a)
Simile
….dan ia seumpama air yang masin…kuning seperti
muka orang durjana
b)
Penggunaan bahasa Arab
Allah azzawajalla
c)
Perlambangan
….emas itu berkuasa….
d)
Inversi
“ seribu dinar bayan hamba ini harganya”
NILAI
1. Nilai kasih sayang
terhadap pasangan
Contoh: Khoja Maimun menyayangi isterinya Bibi Zainab sepenuh hati.
2. Nilai ketaatan terhadap
ketua
Contoh: Taif begitu taat akan perintah Raja Tabristan sehingga
rela membunuh anaknya.
3. Nilai prihatin terhadap
keluarga
Contoh: Khoja Maimun dan saudagar prihatin dengan
tanggungjawab untuk mencari nafkah buat keluarga
4. Nilai keinsafan atas
kesalahan yang dilakukan -
Contoh: Bibi
Zainab insaf atas kesalahan yang dilakukan kerana cuba menduakan suaminya.
PENGAJARAN
1. Kita mestilah patuh
kepada perintah Allah agar dapat menghindarkan diri daripada kemungkaran
2. Kita haruslah berusaha
untuk mencari rezeki buat keluarga agar kehidupan lebih sejahtera.
3. Kita perlulah menyayangi
ahli keluarga dengan sepenuh hati agar
memperoleh kebahagian yang berkekalan.
4. Kita mestilah bijak
menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi agar tidak mendatangkan
kemudaratan.
thx for share cg.
ReplyDeletetq yer cg .. :)
ReplyDelete