05 February 2013

Novel T. 3 : Cempaka Putih Untukmu

NOVEL :

Cempaka Putih Untukmu


SINOPSIS KESELURUHAN

           
Novel Cempaka Putih Untukmu dimulakan dengan kisah ayah Hartini menerima tawaran kenaikan pangkat daripada jabatannya. Hartini sekeluarga telah berpindah mengikut ayahnya Encik Hasrul ke sebuah perkampungan orang asli iaitu Kampung Kuala Batu di Jerantut, Pahang. Hartini bersekolah di Sekolah Menengah Kuala Batu dan telah berkenalan dengan beberapa rakan baharunya seperti Mijod, Ineng, Sinda, Ambok dan Meramu. Begitu juga Satiah yang merupakan rakan  karibnya.  Satiah seorang murid yang pendiam kerana latar belakang dan masalah peribadinya. Keluarga Hartini telah mengambil Satiah sebagai anak angkat mereka. Lalu, Satiah tinggal bersama keluarga Encik Hasrul dan Puan Sarah. Hubungan dan persahabatan antara dua keluarga semakin erat. Namun pada suatu hari Satiah didapati pengsan. Lantaran itu Satiah telah dibawa ke hospital dan hasilnya doktor mengesahkan Satiah menghidap penyakit barah paru-paru yang kronik. Encik Hasrul mencadangkan supaya Satiah dirawat di hospital tetapi  hal ini mendapat bantahan daripada ayah Satiah Pak Morit yang masih kuat berpegang kepada rawatan tradisional. Penyakit Satiah masih tidak menampakkan apa-apa perubahan sehinggalah tiba hari keputusan peperiksaan PMR diumumkan.  Satiah merupakan calon tunggal berjaya memperoleh keputusan 8A  tetapi pada masa yang sama dia terpaksa bertarung dengan kesakitan. Akhirnya Pak Morit akur dan bersetuju agar  Satiah dirawat di hospital. Keadaan Satiah beransur pulih tetapi mereka terpaksa berpisah kerana mereka berdua akan melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama yang berasingan. Berbagai-bagai dugaan telah Hartini lalui di sekolah baharu, antaranya beliau telah dimasukkan ke dalam lokap kerana difitnah oleh Junainah yang  mengedarkan pil ecstasy.  Semua dugaan berjaya diatasi   oleh Encik Hasrul. Hartini dan Satiah berpeluang bertemu kembali sewaktu cuti persekolahan. Namun pertemuan mereka merupakan pertemuan terakhir apabila Satiah telah meninggal dunia. Hartini telah membaca catatan Satiah setebal 180 halaman . Sebelum kembali ke asrama , Hartini telah menanam sepohon cempaka putih di pusara Satiah sebagai tanda kasihnya.

SINOPSIS BAB

        BAB 1  AKUR AKAN PERINTAH

Ayah Hartini ( Encik Hasrul ) menerima surat tawaran kenaikan pangkat  sebagai Pegawai Jabatan Pertanian. Semua ahli keluarga mendengar dengan penuh syukur dan gembira. Ayahnya dikehendaki bertukar ke tempat yang baru yang ditugaskan untuk membangunkan pengeluaran pertanian masyarakat orang asli di Kampung Kuala Batu Jerantut , Pahang. Keluarga mereka membayangkan keadaan serba kekurangan yang bakal mereka hadapi di tempat yang baharu. Encik Hasrul telah ke Jerantut untuk meninjau kuarters yang telah disediakan untuk mereka. Semua kemudahan rumah telah disediakan dengan lengkap oleh Jabatan Pertanian. Mereka akan berpindah lebih awal untuk menyesuaikan diri di kawasan setempat.

Bab 2 TERSALAH SANGKA

Hartini dan keluarganya bertolak dari Kuala Lumpur ke Jerantut pada waktu pagi. Rumah mereka di Kuala Lumpur ditinggalkan kosong untuk memudahkan  mereka bermalam jika ada urusan di kota. Mereka bertolak pada pukul 9.00 pagi dan sampai pada pukul 5 .00 petang di Kampung Kuala Batu. Mereka disambut oleh penduduk kampung dengan meriah oleh penduduk kampung. Rumah mereka sebuah rumah kayu yang beratap genting dan bercat biru lembut yang memiliki empat buah bilik , dua buah bilik air dan ruang tamu. Rumah mereka lengkap berperabut kayu.Hartini bangun pagi . suasana pagi di kampung buat pertama kali dirasainya. Bunyi ayam berkokok , bunyi cengkerik dan bunyi burung-burung di hutan yang berdekatan membuatkan hatinyanya berasa ada kelainan.Jiwanya berasa damai dengan kesegaran udara di kawasan itu. Sangkaan mereka sekeluarga meleset apabila mendapati perkampungan masyarakat asli mempunyai pelbagai kemudahan jalan bertar, mempunyai elektrik, dan kemudahan telefon. Pada petang itu, rumah mereka dikujungi oleh penduduk kampung yang membawa buah-buahan sebagai buah tangan seperti pisang dan keledek. Keluarga mereka betah tinggal di kawasan itu kerana semua urusan dapat dilakukan. Semuanya berpuas hati.

Bab 3. SEKOLAH BAHARU KAWAN BAHARU

  Hartini memulakan persekolahan di Sekolah Menengah Kuala Batu. Hartini Ayu dimasukkan ke kelas Tiga Teratai dan diperkenalkan dengan semua pelajar kelas itu oleh Cikgu Malik. Rakan sekelasnya mengulurkan salam perkenalan. Hartini mendapati nama mereka sedikit pelik – Ineng , Sinda , Ambok dan Meranu. Hartini mendapati seorang lagi murid iaitu Satiah sedikit pendiam. Mereka berpakaian agak lusuh .Suasana kelas tidak banyak berbeza dengan kelasnya di Kuala Lumpur . Para pelajar di kelas itu menunjukkan disiplin belajar yang tinggi semasa berada di dalam kelas. Mereka amat menghormati guru dan tidak bergurau atau bermain-main ketika  guru sedang mengajar.Hartini mencadangkan agar pelajar di kelas itu membuat kumpulan belajar bagi menghadapi peperiksaan PMR yang bakal menjelang. Satiah menyatakan ayahnya tidak suka dia bercampur dengan orang lain selepas waktu persekolahan. Bapa Satiah akan memukulnya jika ada rakannya datang ke rumah. Bapa Satiah tidak mahu Satiah terpengaruh dengan cara kehidupan orang lain. Hartini berhasrat meminta bantuan daripada papanya dalam menyelesaikan kemelut ini. Satiah merupakan pelajar paling pintar di dalam kelas itu. Cikgu Hanafi selalu memuji setiap hasil kerja dan karangan Satiah.

Bab 4. MASALAH SATIAH

  Puan Sarah telah memberitahu tentang Satiah dengan ringkas kepada Encik Hasrul semasa waktu makan. Ayah Hartini berjanji akan cuba menziarahi keluarga Satiah dengan menggunakan alasan kerja. Satiah tidak datang ke sekolah. Hartini bercadang untuk menziarahi Satiah yang demam, tetapi tidak ada murid hendak turut serta kerana takut dimarahi oleh Pak Morit (bapa Satiah) Pada petang itu, papa memberitahu Hartini bahawa dia tidak sempat memberitahu hajatnya kerana Pak Morit mahu ke hutan untuk mencari ramuan ubat-ubatan. Hartini bimbang akan penyakit Satiah kerana tidak mendapat rawatan moden. Papa menjelaskan bahawa masyarakat di kampung itu masih mengamalkan cara perubatan tradisional. Hartini resah mendengar penerangan daripada ayahnya namun ayahnya meminta Hartini bersabar dengan karenah ayah Satiah. Cikgu Malik telah melantik Hartini sebagai ketua kelab komputer yang bakal ditubuhkan. Dia diberi kepercayaan oleh Cikgu Malik kerana dia  berasakan Hartini telah didedahkan dengan komputer berbanding rakan-rakannya yang lain. Walaupun berat Hartini menyanggupi tanggungjawab yang diberikan hasil sokongan daripada Cikgu Malik.  Ayah Hartini menceritakan kisah sebenar yang menyebabkan Pak Morit tidak membenarkan Satiah berkawan dengan orang lain. Kisah dua tahun yang lalu , anak perempuan sulung Pak Morit yang belajar di tingkatan lima di Jerantut telah bekerja di Kuantan setelah selesai menghadapi peperiksaan SPM.  Anak perempuan itu kemudian didapati menghidap AIDS dan menagih dadah lalu meninggal dunia selepas dua minggu dibawa pulang. Semenjak peristiwa itu , dia lebih beringat-ingat  agar pisang tidak berbuah dua kali. Encik Hasrul telah memujuk Pak Morit agar membenarkan Satiah belajar bersama dengan Hartini dan dia telah berjanji untuk bertanggungjawab terhadap Satiah.  Akhirnya Pak Morit bersetuju dan menyerahkan Satiah sebagai anak angkat.

Bab 5 . AHLI BAHARU KELUARGA KAMI

            Pak Morit dan Mak Sukin dan dua orang adiknya telah menghantar Satiah ke rumah Hartini. Sejak itu Hartini mendapat teman untuk belajar yang akrab juga sebagai saudara angkatnya.Mereka makan, mandi , belajar,dan tidur bersama-sama. Selain rajin belajar Satiah juga ringan tulang membantu ibu Hartini membuat kerja rumah. Satiah disayangi oleh seluruh ahli keluarga Hartini. Satiah dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam keluarga Hartini.Hubungan keluarga Pak Morit dan Kdeluarga Encik Hasrul semakin rapat. Hartini dan Satiah berlumba-lumba dalam pelajaran. Tetapi dalam penulisan karangan, Hartini tidak dapat menandingi Satiah. Pada setiap malam ,Satiah tekun menulis sesuatu dalam buku berkulit tebal . Hartini membiarkan sahaja perbuatan Satiah itu. Dua minggu lagi menjelang peperiksaan PMR , Satiah dan Hartini serta rakan sekelasnya sibuk mengulang kaji pelajaran. Satiah ditemukan Hartini dalam keadaan tertiarap dengan kesan tompokan darah pada bantal. Keadaan Satiah sungguh lemah. Mereka segera menghubungi Pak Morit dan Mak     Sukin. Pak Morit menyatakan bahawa Satiah sudah lama menghidap penyakit itu. Menurut Pak Morit , Satiah telah diubati oleh dukun . Dukun memberitahu bahawa Satiah terlangkah benda kotor dan perlu dihantar ke sesuatu tempat untuk membuang benda yang berada dalam tubuhnya. Papa mencadangkan agar Satiah dirawat di hsopital. Pak Morit menolak cadangan tersebut kerana menurut pesan dukun yang menghalang proses pengubatan.Papa akhirnya berjaya memujuk Pak Morit membenarkan Satiah dirawat di hospital dengan alasan Satiah perlu mengambil peperiksaan. Satiah dihantar ke hospital

Bab 6. SENYUMAN SATIAH MULAI TAWAR

 Setelah menerima rawatan awal daripada pihak hospital , Satiah dibawa pulang.Pada malam itu, Pak Morit dan Mak Sukin telah bermalam di rumah Hartini.  Selang dua minggu lagi Satiah dikehendaki dihantar semula ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. Pihak hospital telah mengambil contoh darah , air kencing dan kahak Satiah untuk dikaji. Pada pukul 3.00 pagi Satiah mengaduh perlahan. Hartini bangun lalu membuatkan air susu kerana sejak siang Satiah tidak makan apa-apa. Rakan-rakan sekelas Satiah berasa bimbang dengan keadaan yang melanda Satiah. Kesemua rakan sekelas Satiah melawatnya di rumah Hartini. Mereka turut ditemani oleh Cikgu Malik dan Cikgu Anis. Ayahnya Encik Hasrul telah berjanji kepada mereka semua untuk membuat kenduri besar-besaran jika mereka lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan.

Bab 7. PERPISAHAN SEMENTARA

Peperiksaan PMR telah selesai.  Satiah dapat menghadiri peperiksaan dengan sihat dan lancar. Selepas dua hari peperiksaan , Encik Hasrul dan Pak Morit menghantar Satiah ke hospital untuk rawatan lanjut.  Doktor masih belum dapat mengesan punca sebenar penyakit Satiah. Hartini bercadang mengikut neneknya pulang ke Johor sambil menghadiri kelas komputer. Satiah tidak akan ke mana-mana memandangkan keadaan dirinya yang tidak mengizinkan. Satiah pulang ke rumahnya untuk meneruskan rawatan bersama dukun mengikut kehendak ayahnya. Hartini berasa sedih kerana terpisah dengan mama dan Satiah. Dia sentiasa bimbang akan penyakit Satiah.Neneknya telah berjanji bahawa akan menghantar Hartini pulang sejurus Hartini selesai mengikuti kursus komputer. Nenek menceritakan kisah Mak Usunya yang menjadi liar dan bergaul dengan budak-budak nakal , ponteng sekolah , melepak yang kini berada di bawah jagaan Pak Long iaitu bapa saudara Hartini  di Ipoh. Hartini didaftarkan oleh neneknya belajar komputer di Pontian.  Nenek berjumpa dengan Makcik Leha yang menceritakan kisah anaknya yang berada di balai polis kerana kes menagih dadah. Nenek menceritakan kepada Hartini bahawa pemuda –pemudi pada zamannya berada dalam keadaan serba susah. Mereka faham akan keadaan itu . Hal ini menyebabkan mereka tidak berfoya-foya malahan banyak menghabiskan masa dengan menolong ibu bapa di kebun dan mematuhi perintah dan menghormati ibu bapa segalanya. Hartini mendapat dua pucuk surat daripada Satiah. Namun surat tersebut ringkas sahaja dan tidak memasukkan keadaan dirinya di rumah. Hartini menunggu masa untuk pulang semula ke rumahnya . Pengetahuan asas tentang komputer telah mula dikuasainya.

Bab 8. BERITA YANG MEMBIMBANGKAN

Setelah selesai ujian komputer. Hartini meminta kebenaran daripada neneknya untuk pulang ke Jerantut. Dua hari kemudian nenek menemankan Hartini balik ke Jerantut. Mama memberitahu bahawa keadaan Satiah semakin bertambah teruk. Penyakitnya semakin kerap menyerang. Badannya juga semakin susut dan rambutnya semakin menipis. Doktor telah mengesahkan Satiah menghidap barah paru-paru . Hampir keseluruhan paru-parunya dijangkiti virus barah. Harapan untuk pulih sedia kala adalah tipis.Pak Morit tidak membenarkan Satiah dibawa ke hospital. Menurut kata Pak Morit, penyakit Satiah melarat kerana melanggar pantang larang dukun. Pak Morit masih percaya bahawa Satiah terkena sampuk. Hartini segera ke rumah Satiah untuk menziarahinya. Satiah kelihatan lemah dan kehilangan keyakinan untuk terus hidup. Satiah melahirkan perasaan kecewa dengan sikap ayahnya yang enggan menuruti kehendak papa yang ingin meneruskan perubatan moden.Satiah reda menerima kenyataan tersebut. Satiah meluahkan harapan untuknya sembuh sangat tipis. Mak Sukin memberi keyakinan kepada Satiah bahawa dia akan memujuk Pak Morit untuk membawa Satiah ke hospital. Hartini menyatakan tentang tarikh keputusan peperiksaan PMR yang bakal tiba dan merancang untuk sama-sama ke sekolah  mengambil keputusan peperiksaan PMR.

BAB 9 -  Kerana Adat dan Pantang Larang

Mak Sukin datang ke rumah Hartini dan  memberitahu  bahawa Pak Morit enggan membenarkan Satiah dirawat di hospital. Walaupun dipujuk berkali-kali oleh papa , mama dan Mak Sukin keputusan Pak Morit tidak berganjak. Satiah semakin lemah kerana penyakitnya tetapi Pak Morit tetap berdegil tidak mahu membawa Satiah ke hospital.   Pagi esoknya Hartini melawat Satiah di rumahnya dengan membawa sedikit kuih bingka jagung kesukaan Satiah . Tini bertekad untuk berjumpa dan memujuk sendiri Pak Morit walau apapun yang akan terjadi.  Namun usahanya tetap tidak dapat melembutkan hati Pak Morit. Pak Morit mengatakan bahawa dia telah melanggar adat apabila telah membawa Satiah ke hospital dahulu. Pak Morit masih percaya bahawa Satiah menderita kerana telah melanggar pantang larang . Dia lebih rela Satiah mati di rumah daripada mati di hospital.Tini pulang ke rumahnya dengan perasaan yang amat kecewa.  Keesokannya Hartini kembali semula ke rumah Satiah. Akob , adik lelaki Satiah memberitahu bahawa Satiah dan ibu bapanya tiada di rumah kerana berubat di Kampung Langsat.

BAB 10 -  Keruhnya Air yang Tenang

            Hubungan keluarga Hartini  dengan keluarga Satiah semakin renggang dan tegang.  Pak Morit cuba untuk mengelakkan diri daripada berjumpa dengan keluarga Hartini .  Mak Sukin serba salah dengan sikap suaminya, namun dia tidak mampu berbuat apa-apa.  Papa membeli buku berkaitan dengan penyakit barah. Hartini cuba membaca untuk mengetahui cara melayan dan memberikan semangat serta rawatan yang perlu bagi mengurangi kesakitan akibat barah. Papa , Mama dan Hartini sering melawat Satiah bagi mengelakkan Satiah berasa keseorangan dalam menghadapi penyakitnya. Hartini membawakan pelbagai novel , majalah untuk mengilangkan kesunyian Satiah walaupun kehadirannya tidak disukai oleh Pak Morit. Keadaan Satiah seakan beransur pulih buat seketika. Dia sudah boleh bangun dan berjalan sendiri ke bilik air. Hartini sedikit gembira. Pak Morit melarangnya turun ke tanah mengikut kehendak dukun. Satiah menurut sahaja. Keputusan PMR akan diumumkan pada hari esoknya.  Satiah tidak dibenarkan ke sekolah atas alasan belum boleh memijak tanah kerana masih berpegang kepada pantang larang walaupun dia sudah nampak sihat sedikit berbanding hari-hari sebelumnya. Ambok mendapati kulit badan dan lengan Satiah mengelupas . Satiah menyatakan bahawa  bermungkinan kesan daripada ubat daun-daun kayu yang dilumurkan oleh bapanya. Hartini pula mendapati bahawa ada bintik-bintik merah pada keseluruhan tubuh seperti kesan alahan tertentu. Mereka terus berbincang tentang keputusan PMR yang akan diumumkan pada hari esok.

BAB 11 -  Berita Gembira Disambut Duka

 Hartini , Ineng, Ambok dan Sinda ke sekolah untuk mengetahui keputusan PMR .  Hartini berjaya mendapat 7A 1B dan Satiah menjadi pelajar terbaik dengan keputusan 8A.  Hartini berasa gembira dengan keputusan yang dicapai oleh Satiah . Dia mengharapkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh Satiah. Hartini dan kawan-kawannya yang lain amat gembira kerana sekolah mereka mencatat keputusan yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.  Sedang mereka bergembira dengan keputusan yang baru diterima, mereka dikejutkan dengan berita Satiah pengsan, badannya kejang dan darah keluar membuak-buak daripada mulutnya. Pak Morit dan bomoh cuba memulihkan Satiah yang memuntahkan darah daripada mulutnya. Hartini berasa sayu apabila melihat keadaan Satiah. Bomoh menggunakan daun dan bunga dalam perawatannya terhadap Satiah. Bomoh berpesan agar Satiah sentiasa dibasahkan dengan air yang dicampur dengan daun dan bunga itu. Keadaan Satiah masih tidak berubah, darah tidak berhenti keluar. Mak Sukin, Hartini, dan Encik Hasrul merayu agar Satiah dibawa ke hospital. Bingung dengan keadaan Satiah, akhirnya Pak Morit membenarkan Satiah dibawa ke hospital.

BAB 12 -  Kuntum yang Hampir layu

            Satiah dimasukkan dalam unit rawatan rapi ( ICU ) dan wad kelas satu hasil usaha yang dilakukan oleh Encik Hasrul. Keadaannya beransur-ansur pulih. Keadaan Satiah pada hari itu telah sedikit melegakan hati Mak Sukin . Satiah sudah mula membuka mata dan darah yang keluar dari mulutnya sudah mula berhenti. Hartini dan ibunya bergilir-gilir dengan Mak Sukin menjaga Satiah di hospital. Satiah memerlukan suntikan pada setiap hari bagi menstabilkan keadaannya. Doktor juga menerangkan Satiah mungkin perlu menjalani rawatan kimoterapi. Pak Morit  menyesal kerana membiarkan keadaan Satiah yang menderita begitu lama . Dia juga menyesal kerana sikapnya yang degil. Pak Morit berjanji mengubah pendirian dan kepercayaannya terhadap perkara-perkara karut. Pada hari yang kedua puluh Satiah di hospital, baru Hartini berpeluang memberitahu keputusan PMR kepada Satiah.  Satiah sangat gembira tatapi terdetik rasa pilu di hati Hartini ini mengenangkan mereka akan berpisah kerana mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat di sekolah yang berbeza. Satiah yang mendapat tawaran ke Sekolah Menengah Tanjung Bestari manakala Hartini ke Sekolah Menengah Puncak Wawasan.Hartini meminta agar bapanya dapat mengusahakan agar dia dan Satiah mendapat sekolah yang sama kerana tidak mahu berpisahDia berhasrat apabila berada di sekolah yang sama dia akan dapat menjaga Satiah. Pak Morit dan Papa telah merancang mengadakan kenduri untuk meraikan kejayaan mereka dalam peperiksaan. Satiah melahirkan pendapat yang dia tidak lagi mempunyai harapan untuk hidup lama kerana penyakit yang dideritainya. Hartini berasa sangat sedih.

BAB 13 -  Demi Cita-cita dan Harapan Keluarga

              Kenduri kesyukuran diadakan di rumah Hartini bagi meraikan kejayaan pelajar PMR di Kampung Kuala Batu dengan penuh meriah.  Hubungan Pak Morit dengan keluarga Satiah akrab kembali.  Keadaan kesihatan Satiah juga semakin positif.  Selepas majlis itu, mama dan papa sibuk membeli kelengkapan sekolah dan asrama untuk Hartini dan Satiah.  Apa yang menarik semua pakaian dan kelengkapan yang dibeli untuk Hartini dan Satiah, semuanya sama dari segi warna dan bentuk. Encik Hasrul dan Puan Sarah membelikan semua keperluan Hartini dan Satiah untuk persiapan ke sekolah baru mereka berdua.Dua hari kemudian Encik Hasrul, Puan Sarah, Pak Morit dan Mak Sukin telah menghantar mereka berdua ke asrama.  Hartini dan Satiah terpaksa berpisah dan berjanji akan berjumpa pada cuti sekolah nati.  Hartini berasa kekok ketika ketika berkongsi bilik dengan rakan baharunya.

BAB 14 -  Kesabaran Juga Ada Batasnya

Sudah tiga bulan Hartini berada di asrama.  Hartini telah menerima empat pucuk surat daripada Satiah. Ingatannya kepada Satiah tidak pernah hilang.  Hampir setiap hari dia menulis surat kepada Satiah.  Perbuatan Hartini menghairankan tema seasramanya Nora.Hubungan Hartini dan Satiah tidak menjadi sesuatu yang unik bagi Junaidah. Junaidah memperlekehkan tindakan Hartini yang berhubungan dengan orang asli. Hartini menganggap Junaidah cuba menghina Satiah rakan baiknya dan seolah-olah menghinanya. Pertengkaran bermula apabila Junainah sengaja memasang radio dengan kuat tanpa menghiraukan rakan sebiliknya yang ingin belajar.  Hartini dan Nora meminta Junainah bertimbang rasa kerana mereka ingin belajar. Junainah sengaja menguatkan bunyi radio. Berlaku pertengkaran dan Hartini menutup radio. Hal ini, ini menyebabkan Junainah meludahi muka Hartini. Hartini menampar muka Junainah. Darah keluar daripada mulut Junainah. Kejadian itu menyebabkan Hartini dan Junainah dipanggil ke bilik pengetua. Hartini tidak mahu memperbesar kes itu. Dia rela meminta maaf. Nasib baik ada Nora dan Najmi telah menceritakan kejadian sebenar kepada pengetua. Pengetua tidak mengambil tindakan keras. Kedua-dua mereka diberikan amaran keras sahaja Mereka dilepaskan tanpa diambil tindakan disiplin oleh pengetua

BAB 15 -  Pecahnya Tembelang

Cuti semester akan bermula. Hartini membayangkan kegembiraan akan bertemu dengan keluarganya dan Satiah. Hartini mengemas buku dan pakaiannya dengan dibantu oleh Nora. Hartini tidak berjumpa Junainah sehari dua itu. Sejak peristiwa itu Junainah sering berada di bilik sebelah dengan rakannya Salha. Ketika mereka menuju ke dewan makan malam itu, Hartini mendapati Junainah dalam keadaan kusut masai dan tidak terurus. Mukanya cengkung dan matanya kemerah-merahan. Dia terus terbaring di katil tanpa memperdulikan Hartini. Ketika mereka pulang ke bilik pada malam itu , Junainah tidak ada di bilik mereka lagi. Pada keesokan harinya, ketika sedang belajar di kelas, Hartini, Nora dan Najmi dikehendaki balik ke asrama.  Mereka terkejut kerana ada pemeriksaan bilik oleh Puan Norjihan pengetua , Encik Kancho Tamang pengawal keselamatan sekolah dan dua orang pegawai polis.  Ada aduan mereka menyimpan barang yang tidak dibenarkan di almari mereka . Semasa memeriksa almari Hartini , Puan Norjihan menjumpai banyak pil ecstacy. Hartini menjelaskan dia tidak tahu menahu tentang pili esctacy tersebut.Nora mengakui bahawa pada hari semalam mereka mengemas baju bersama –sama tetapi tiada bungkusan seperti bungkusan tersebut.Hartini dituduh menyimpan pil ecstacy berikutan pil itu ditemui di dalam almari pakaiannya.  Hartini dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.  Encik Hasrul dan Puan Sarah sedih dengan kejadian itu.  Encik Hasrul bertekad untuk meminta pengetua membuat pemeriksaan terhadap semua kakitangan sekolah dan pengawal keselamatan bagi membuktikan Hartini tidak bersalah. Encik Hasrul meminta pihak polis memeriksa air kencing penghuni bilik tersebut termasuk Junainah. Beliau menjelaskan bahawa pihak polis mensyaki ada sindiket menjual pil tersebut di sekolah. Setelah ditahan selama tiga hari di lokap, Hartini dibebaskan.  Rupa-rupanya ketua sindiket yang membekalkan pil itu ialah Encik Konco, pengawal keselamatan sekolah.  Junainah dan rakan-rakannya menjadi penagih pil tersebut. Encik Hasrul memberitahu bahawa Junainah yang menggunakan pil tersebut bersama rakan di bilik sebelah asrama mereka.Mereka juga didalangi oleh Encik Kancho iaitu pengawal keselamatan di sekolah mereka. Encik Hasrul menjelaskan bahawa dia mencadangkan suatu pemeriksaan mengejut dilakukan di semua bilik asrama ketika semua pelajar sedang belajar. Mereka menemukan pil estacy itu di bawah kawalan Encik Kancho. Namun membiarkan sahaja Encik Kancho melepaskan diri bagi menyiasat sendiket itu seterusnya. Encik Kancho akhirnya ditangkap ketika menyerahkan bahan itu kepada pelanggannya di sebuah restoran di bandar Kuantan.

BAB 16 -  Dia Pergi Jua

 Hartini balik bercuti di Kuala Batu. Dua hari Hartini tidur sepuas-puasnya. Satiah mengajak Hartini bersama-sama untuk pergi ke rumahnya. Hartini tetap ingin tidur pada pagi itu dan berjanji akan pergi ke rumah Satiah pada petang itu. Satiah pulang ke rumahnya seorang diri. Ayah Hartini ingin membuat majlis kenduri doa selamat setelah apa yang dilalui oleh Hartini dan Satiah. Ibu bapa Satiah turut berada di rumah Hartini. Pada petangnya Hartini ke rumah Satiah. Hartini mencari-cari di mana Satiah . Hartini duduk sahaja di situ hampir setengah jam. Hartini  mencari Satiah , Amat   telah menjumpai Satiah terlentang di tepi perigi dalam keadaan berdarah. Satiah dan cuba mengejutkannya. Satiah tidak memberi sebarang reaksi. Hartini meminta Akob menyampaikan berita keadaan Satiah kepada ibu bapa mereka. Tidak berapa lama selepas itu kedua ibu bapa mereka sampai. Ayah Aton membantu Hartini mengangkat Satiah masuk ke dalam rumah. Satiah dihantar ke hospital oleh ayah Hartini . Satiah  dimasukkan ke dalam wad ICU. Pada malamnya mereka ke hospital untuk melawat Satiah. Pak Morit memberitahu bahawa keadaan Satiah tidak dapat diselamatkan lagi. Dia semakin tenat. Hartini melihat Satiah yang ditempatkan di sebuah bilik. Dia mengetahui bahawa Satiah sedang berjuang dengan maut.Mama membacakan surah Yassin untuk Satiah. Mak Sukin masuk ke bilik lalu mendakap tubuh Satiah beberapa kali diikuti dengan Pak Morit dan Encik  Hasrul. Orang terakhir masuk ke bilik itu ialah Hartini. Walaupun enggan melihat keadaan Satiah seperti itu Hartini menguatkan semangatnya. Dia membacakan bacaan Al-Fatihah di telinganya , membisikkan kalimah syahadah dan mengharapkan Satiah meninggalkan dunia ini dalam keadaan aman dan tenteram. Dia memohon maaf atas kesalahannya selama ini. Hartini meredakan pemergian Satiah walaupun berat hati. Selang beberapa ketika doktor masuk dan mengesahkan bahawa Satiah telah meninggal dunia.Hartini pengsan. Apabila sedar Hartini melihat ramai orang berada di rumahnya. Hartini masih separuh sedar dengan peristiwa yang terjadi sebelum itu. Dia bertanyakan kepada mamanya di manakah Satiah.Ustaz Amin yang mengajar Pendidikan Islam di sekolah mereka meminta Hartini menerima ketentuan takdir. Hartini diminta bersabar dan bertawakal.Hartini kemudiannya mendapatkan jenazah Satiah. Dia mencium jenazah Satiah dengan linangan air mata.Bagi Hartini pemergian Satiah sumpama pergi membawa penderitaan Satiah dan segala keriangannya. Satiah telah mengambil segala keriangan Hartini.Sebenarnya Pak Morit sengaja melambatkan jenazah dikebumikan kerana menunggu Hartini sedar daripada pengsan. Jenazah hanya dikebumikan selepas pukul 11.00 pagi. Pak Morit mahu supaya Hartini menyaksikan urusan jenazah Satiah dijalankan kerana dia khuatir Hartini tidak dapat menerima kenyataan. Setelah jenazah Satiah dikebumikan Hartini duduk di tepi kubur dengan penuh kesyahduan.

BAB 17 -  Tersingkap Misteri

Sudah lebih dari seminggu Satiah pergi meninggalkan duni yang fana ini. Persekolahan telah bermula semula. Hartini masih tidak pulang ke asrama. Dengan keizinan pengetua Hartini diberikan cuti selama seminggu setelah ayahnya menceritakan keadaannya ketika itu. Pada hari itu ayahnya dan ibunya pergi ke Kuantan untuk mengambil barang Satiah di asramanya. Hartini memeriksa barang-barang peninggalan Satiah. Hartini menjumpai sebuah buku berkulit tebal yang selalu ditulis oleh satiah semasa hayatnya.  Hartini membaca semua catatan Satiah yang mengisahkan persahabatan mereka. Pada halaman ke 25 Satiah menampalkan sekuntum bunga . Bunga ini menjadi lambang kewangian hidupnya dan mengharapkan apabila dia meninggal nanti bunga itu akan ditanam di atas kuburnya.Di dalamnya juga tercatat keadaannya yang sakit berterusan . Dia mendiamkan sahaja kesakitan itu dan menghadapinya berseorangan . Satiah juga menyatakan jika diberikan pilihan Satiah hanya mahu meninggal dunia setelah dia membalas jasa dan kebaikan yang dilakukan oleh keluarga Hartini. Satiah juga menangis apabila mengetahui bahawa Hartini dimasukkan ke dalam lokap akibat difitnah. Masih ada kesan air mata pada diari tulisan Satiah itu.Satiah meminta agar selepas dia meninggal Hartini tidak lagi bersedih dan meminta dia hidup dalam keadaan tabah dan tenang. Dia meminta Hartini menghadiahkannya segulung ijazah kepada kedua orang tua mereka. Catatan sebanyak 180 muka surat itu habis dibacanya.  Jiwanya sangat tersentuh dengan catatan terakhir, seolah-olah Satiah sudah dapat mengagak saat kematiannya akan tiba. Hartini bertekad  menyambung perjuangan Satiah untuk berjaya dalam pelajaran bukan sahaja untuk menggembirakan hati ibu bapanya tetapi juga Pak Morit dan Mak Sukin . Satiah mengakhiri tulisannya pada halaman ke 180 dengan perkataan Allahyarhamah Satiah Morit. Hartini sedar bahawa dia perlu memenuhi wasiat daripada sahabat dan saudaranya Satiah.

BAB 18 -  Cempaka Putih Untukmu

            Hartini bersiap untuk pulang ke asrama.  Dia akan dihantar oleh ibu bapanya dan Pak Morit serta Mak Sukin.  Mereka singgah sebentar di kubur Satiah yang sudah tiga minggu meninggalkan mereka. Hartini membacakan Al-Fatihah untuk Satiah.  Hartini menanam pokok bunga cempaka putih di kubur Satiah sebagai tanda kasihnya kepada persahabatan mereka.  Pak Morit dan Mak Sukin tidak dapat menahan tangisnya tetapi Hartini bertekad tidak akan menangis lagi.  Itu janjinya kepada satiah. Selamat tinggal sahabatku, engkau tetap dalam hatiku.

TEMA


Novel ini membawa tema keakraban dan keikhlasan persahabatan antara dua orang remaja.

PERSOALAN


Terdapat beberapa persoalan dipaparkan dalam novel ini, antaranya;

  1. Kasih sayang antara keluarga angkat 
  2. Kepentingan menuntut ilmu
  3. Ketabahan menempuh dugaan hidup.
  4. Kepercayaan terhadap perubatan tradisional  dan pantang larang.
  5. Sanggup berkorban menghadapi kehidupan baharu 
  6. Kesan buruk penyalahgunaan dadah.

PLOT


    1. Permulaan
Cerita  bermula dengan sebuah keluarga iaitu Encik Hasrul yang bertugas sebagai pegawai kerajaan melalui Jabatan Pertanian telah ditawarkan berkhidmat di sebuah perkampungan orang Asli di kampung Kuala Batu , Jerantut, Pahang. Ahli keluarga terpaksa mengikut Encik Hasrul berpindah ke tempat tersebut sebagai menghormati beliau sebagai ketua keluarga.

b.    Perkembangan
Keluarga Encik Hasrul mengambil Satiah yang merupakan kawan karib Hartini sebagai anak angkat. Satiah dan Hartini belajar bersama-sama. Hubungan antara keluarga Encik Hasrul dan Pak Morit semakin erat. Hartini telah dilantik sebagai Ketua Kelab Komputer. Satiah didapati menghidap penyakit barah paru-paru.

c.    Konflik
Konflik berlaku apabila Pak Morit tidak mahu membawa Satiah ke hospital kerana berpegang kepada perubatan tradisional. Dia percaya kepada kata dukun yang mengatakan Satiah sakit kerana terlangkah benda kotor. Benda halus itu akan melawan dan marah jika Satiah dibawa ke hospital.
Konflik yang Hartini dihadapi kerana terpaksa belajar berjauhan dengan Satiah. Ayahnya tidak dapat menolong permintaan Hartini supaya dapat bersekolah di tempat yang sama dengan Satiah. Menurut bapanya , semuanya teletak kepada kuasa Kementerian Pelajaran.
Konflik antara Hartini dan Junainah. Junainah sering menghina Hartini yang agak kolot dan kekampungan . Junainah telah menyakitkan hati Hartini dengan memasang radio transistor dengan kuat. Hartini menutup radio itu, Junainah telah meludah Hartini. Tanpa sedar Hartini telah menampar Junainah.
Konflik yang Hartini hadapi setelah dituduh memiliki dan mengedar pil ecstacy di asrama sekolahnya. Hartini telah dimasukkan ke dalam lokap selama tiga hari.


d.    Klimaks
Setelah bertahun-tahun menanggung penderitaan, akhirnya Satiah menemui ajal.

e.    Peleraian
Hartini semakin pulih dan tenang. Dia telah mendapat kebenaran untuk menyambung cuti daripada pengetua sekolahnya. Setelah Hartini mendapat ketenangan, dia telah membaca buku tebal peninggalan Satiah untuknya. Hartini berjanji akan menunaikan cita-cita Satiah untuk menperoleh segulung ijazah untuk kedua-dua ibu bapa mereka. Dalam perkalanan pulang ke asrama, Hartini telah singgah di pusara Satiah untuk  menanam pokok bunga cempaka putih .

TEKNIK PLOT

1. Deskripsi/Pemerian

Cara mereka belajar juga agak berlainan.  Ketika menghadapi setiap subjek, mereka begitu tekun dan menumpukan sepenuh perhatian kepada guru yang mengajar.(m/s 15)

2. Dialog 

   “Yalah. Dua tiga hari lagi kita berangkat. Nenek tahu Tini rindu akan mama dan     
    kawan-kawan di sana. Sabarlah, nanti nenek uruskan tiket dulu,” kata nenek (m/s 51)

3 Imbas kembali

Ketika membaca catatan demi catatan yang ditulis itu aku terasa seperti berada di sisi Satiah. Aku seperti sedang bercakap dengannya. Bayangan peristiwa semasa bersama-sama seperti hadir semula dalam hidupku. Semua peristiwa yang berlaku antara kami ditulis dengan menarik. (m/s 120)

4.                  4. Imbas Muka        Fuad berdoa dengan memohon kepada Allah agar hatinya menjadi tabah untuk  
                    menghadapi

5.      Monolog Dalaman 
“Apa agaknya yang sedang Satiah lakukan pada saat ini? (m/s 87)

6.    Suspens
Hartini, Nora dan Najmi  dipanggil oleh pengetua berkaitan kes pengedaran pil ecstasy.
(m/s 98)

7.      Kejutan Kejutan
Hartini terkejut dengan kematian rakan karibnya Satiah, menyebabkan badannya lemah longlai. (m/s 115)



WATAK DAN PERWATAKAN

Watak Utama
  
Hartini

  • Anak ketiga kepada Encik Hasrul dan Puan Sarah.
  • Merupakan pelajar Tingkatan Tiga Teratai di Sekolah Menengah Kuala Batu.
  • Mempunyai kakak (Along), abang (Angah) dan adik bernama Amin.
  • Seorang yang berani. Contoh: Hartini berani memujuk Pak Morit supaya bersetuju agar  Satiah dirawat di hospital.
  • Seorang yang tabah. Contoh: Hartini menerima kehilangan rakan karibnya dengan tabah.      Dia berjanji tidak akan menangis lagi.
  •  Seorang yang penyayang. Contoh: Hartini sangat menyayangi rakannya Satiah. Buktinya sewaktu Satiah meninggal dunia Hartini pengsan dan tidak sedarkan diri. Agak sukar bagi Hartini menerima hakikat bahawa rakan karibnya itu telah meninggal dunia.
  • Seorang pelajar yang bijak. Contoh:  Hartini merupakan seorang pelajar yang bijak. Dia telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR iaitu 7A 1B.

Watak Sampingan

Satiah

·      Anak  sulung kepada Pak Morit dan Mak Sukin
·      Mempunyai adik iaitu Akob dan Amat.
·      Rakan karib Hartini
·      Menghidap penyakit barah paru-paru.
·      Seorang pendiam. Contoh: Tidak banyak bercakap di dalam kelas dan jarang ke rumah kawan-kawan .
·      Seorang tabah. Contoh: Satiah tabah menanggung kesakitan akibat penyakit barah paru-paru.
·      Seorang yang bijak. Contoh: Satiah merupakan pelajar cemerlang dalam peperiksaan PMR. Beliau memperoleh keputusan 8A. Dia juga mahir dalam penulisan.
           
Encik Hasrul

·      Suami kepada Sarah .
·      Mempunyai empat orang anak iaitu Along, Angah, Hartini dan Amin.
·      Merupakan seorang kakitangan kerajaan di jabatan pertanian.
·      Seorang yang bertanggungjawab. Contoh: Sebelum berpindah ke tempat baharu beliau memastikan segala  urusan persekolahan anak-anak dan keperluan tempat tinggal diselesaikan terlebih dahulu.
·      Seorang yang baik hati. Contoh: Encik Hasrul telah menghantar Satiah untuk mendapatkan rawatan di hospital.
·      Seorang yang menepati janji. Contoh: Encik Hasrul mengotakan janjinya mengadakan kenduri kesyukuran apabila Hartini dan rakan-rakannya mencapai keputusan cemerlang dalam PMR.

LATAR


Latar Masa
·                                               Pagi
·                                               Petang
·                                               Malam
Latar Tempat
·                                      Di Kuala Lumpur
·                                      Di kampung Kuala Batu.
·                                      Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Batu
·                                      Sekolah Menengah Gemilang Wawasan.
·                                      Johor Bahru
·                                      Kampung Langsat
    

Latar Masyarakat
·                                      Masyarakat bandar

·                                      Masyarakat orang Asli

·                                      Masyarakat yang percaya kepada amalan tradisional

·                                      Masyarakat pelajar

·                                      Masyarakat peniaga

·                                      Masyarakat pendidik
Contoh: Cikgu Hanafi sentiasa memberi pujian ke atas Satiah yang pandai mengarang. 

Gaya Bahasa

(i    Pemilihan Kata
(a)  Penggunaan bahasa Arab
Allahyarhamah Satiah

(b)  Penggunaan bahasa Inggeris 
  `mood` (m/s 1), ‘computer games’ (m/s 2)

(ii)  Simile
seperti kuntum bunga yang hampir layu (m/s 78),
teguh seperti tiang batu (m/s 57)

(iii) Sinkope
“Aku berasa tak sabar nak ke sekolah esok” (m/s 66)

(iv) Peribahasa
ringan tulang (m/s 32), berbesar hati (m/s 43), sebusuk-busuk daging dikunyah-kunyah tetap juga boleh dimakan (m/s 48)

(v)  Personifikasi
 Udara sejuk menerjah tubuh (m/s 9)  

(vii ) Metafora
         Seronok sekali rasanya mendengar muzik alam yang begitu asli. (m/s 10)

 Nilai

1.    Kasih sayang
2.    Kebijaksanaan
3.    Kegigihan
4.    Tepati janji
5.   Keberanian
6.   Ketabahan
7.    Bertanggungjawab
8.    Kebijaksanaan
9.    Baik hati

Pengajaran

1.    Kita hendaklah saling menyayangi
2.    Kita hendaklah bijak menyelesaikan masalah
3.    Kita hendaklah gigih untuk mencapai kejayaan
4.    Kita hendaklah berpegang kepada janji
5.    Kita hendaklah berani dalam tindakan
6.    Kita hendaklah tabah dalam menghadapi dugaan hidup
7.    Kita hendaklah bertanggungjawab
8.    Kita hendaklah bijak dalam membuat keputusan
9.    Kita hendaklah baik hati kepada semua orang

12 comments:

  1. saye suke blog cikgu...hihi..

    ReplyDelete
  2. terima kasih cikgu ! hilangpenat otak saye :3 hehehe

    ReplyDelete
  3. terima kasih cikgu dngn ni senang saya menjawap soalan nanti.... :3

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
  4. Terima kasih :) .. Senanglah saya jawap soalan besok :D

    ReplyDelete
  5. Terima kasih cikgu ghafar...doakn saye cermerlang dalm peperiksaan pt3 2015😊

    ReplyDelete
  6. Terima kasih cikgu semoga cikgu dirahmati Allah.s.w.t. tpi cikgu tolong doakan sya cemerlang dlam periksaan pt3.semoga jasa cikgu Ku kenang selalu

    ReplyDelete
  7. ada lagi tak watak yang lain dalam novel ni?

    ReplyDelete
  8. Keterangan latar masa?😅😅

    ReplyDelete
  9. Keterangan latar masa?😅😅

    ReplyDelete