02 June 2012

Teks Pidato : Bahasa Melayu Citra Bangsa Malaysia




Teks Pidato : Bahasa Melayu Citra Bangsa Malaysia


Bahasa Melayu indah nan santun,
     Mekar-megah di pentas dunia,
Jari sepuluh kemas kususun,
     Mohon bicara nan menyusun kata.


Bismillahirrahmanirrahim.


Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,  salam sejahtera dan salam 1Malaysia.


Salam aprisiasi saudara pengatur majlis,
Barisan panel penghakiman penuh berkarisma,
Guru-guru seterusnya rakan-rakan yang sentiasa celik akal minda  dan penerus  wadah tonggak negara.


Sidang hadirin yang dihormati,


Tajuk pidato saya Bahasa Melayu Citra Bangsa Malaysia.   Bahasa sangat luas pengertiannya, bahasa tidak hanya merujuk sebagai satu sistem linguistik  semata-mata, tetapi bahasa juga  citra  budaya bangsa Malaysia dan fungsi bahasa  itu sendiri sebagai alat perhubungan sosial dalam masyarakat.  Menurut Pendeta Bahasa  Zaaba  , bahasa merupakan citra masyarakat, budaya, akal budi, jiwa atau roh sesuatu bangsa.  Keintelektualan dan tamadun bangsa membuktikan peranan terbesar bahasa sesuatu bangsa. Melalui bahasa orang dapat mengenal sesuatu bangsa  atau petunjuk kepada sesuatu kebudayaan.  Sebagai warga Malaysia, kita seharusnya menghayati dan menghargai bahasa kebangsaan sebagai jiwa bangsa kita dan citra jati diri kita. Sesungguhnya jiwa sesuatu bangsa itu dapat dilihat pada bahasanya .  Pada bahasa itulah tergambar etos atau semangat kita sebagai satu bangsa dalam satu lingkungan tanah air yang dipunyai secara bersama.


Bicara saya yang pertama,
Bahasa Melayu Citra Bangsa 1 Malaysia


Bahasa Melayu merupakan wasilah  terpenting  dalam  menyatukan bangsa Malaysia. Sesungguhnya, apa yang termaktub dalam Perkara 152 yang menyediakan peruntukkan-peruntukkan yang berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan .Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi-kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, bahasa Melayu bukan lagi menjadi milik tunggal pribumi Melayu. Malah, bahasa Melayu menjadi milik bersama seluruh warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Justeru niat murni mendaulatkan bahasa Melayu dapat  menyatupadukan kaum-kaum, yang terdiri dari kaum Melayu, Cina, India, dan lain-lain di bawah satu bahasa.  Cuba kita bayangkan, bagaimana selepas hampir 55  tahun merdeka, jika kaum Melayu hanya dengan bahasa Melayunya, dan kaum Cina dengan bahasa Mandarin,Tionghua, ataupun Hokkien nya, dan kaum India pula dengan bahasa Tamil nya sahaja, maka bagaimanakah kewujudan bangsa Malaysia dapat direalisasikan?  Justeru, jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan asal-usul mendaulatkan bahasa  Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka akan terzahirlah citra dan keperibadian kita sebagai satu bangsa, iaitu bangsa  1 Malaysia. Sebaliknya, jika kitamendaulatkan bahasa-bahasa asing, akan terpancarlah `jati diri asing'. Lantas, akan terencatlah pembentukan jati diri  kita sebagai bangsa 1 Malaysia.  Ayuh , marilah k ita berbahasa Melayu   sebagai  bahasa kebangsaan - 1 bahasa,  1 bangsa, 1 nusa  dalam  merealisasikan wawasan 2020.


Hadirin hadirat sekalian,
Bicara  saya yang kedua,
Bahasa Melayu Memajukan Bangsa Malaysia,


Bahasa Melayu menjadi pemancu   ke arah kemajuan bangsa. Sesungguhnya untuk mewujudkan satu bangsa itu bukanlah mudah. Suka saya tegaskan di sini, bahawa dalam konteks  pembinaan bangsa Malaysia dan pemajuan negara menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan, bukannya bahasa-bahasa asing.  Walaupun kita mempelajari bahasa asing sebagai bahasa  global, namun kita tidak seharusnyamembiarkan jiwa dan pemikiran kita dikuasai oleh bahasa asing.  Cuba kita teladani , Kejayaan pembentukan negara-bangsa Jepun, Korea,  negara-bangsa di benua Eropah dan Amerika Syarikat. Mereka terbukti telah berupaya memodenkan negara sekali gus membina bangsa dengan mendaulatkan bahasa kebangsaan negara-bangsa masing-masing . Nah , sewajarnya kita menjadikan bahasa Melayu  sebagai bahasa ilmu, teknologi dan peradaban moden.  Justeru, akan tercapailah gagasan pemajuan negara dan pembinaan bangsa Malaysia, jika kita sebagai rakyat Malaysia tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan kita sendiri, siapa lagi?
Inilah prinsip umbi yang seharusnyakita junjung, jika kita benar-benar serius untuk mewujudkan bangsa Malaysia, bak kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.


Seterusnya, izinkan saya meneruskan  bicara saya yang ketiga
Bahasa Melayu Memartabatkan Bangsa Malaysia


Bahasa Melayu memartabatkan bangsa Maysia . Bahasa adalah penanda identiti atau jati diri sesuatu bangsa.Tetapi malangnya,dewasa kini kita dapat lihat bangsa kita sendiri telah memusnahkan kesantunan bahasa Melayu itu dengan pelbagai aspek yang tidak bermoral. Kesannya, bagaimana untuk kita memartabatkan bangsa kita? Bagaimana untuk dunia memandang tinggi bangsa kita? jika kita sendiri tidak tahu menghargai keunikan dan keindahannya. Pembudayaan bahasa Melayu harus nyata .Di plaza tol lebuh raya kini terdapat bahasa tanda yang berbunyi, “Lorong Touch ‘n Go”. Bahasa apa ini? Inilah dia bahasa rojak rasmi. Inilah yang dikatakan pandai meniru tetapi tidak menuras. Inilah juga kerja yang memalukan bangsa. Kenapa tidak dipakai saja istilah “Lorong pacu segera” Sudahkah kita betul-betul menggeledah kamus bahasa ibunda sebelum sewenang-wenang menggunakan “touch ‘n go” Jika tiada azam perjuangan yang kental untuk menggunakan bahasa sendiri lantaran istilahnya cukup dalam bahasa sendiri, kita juga nanti akan dipanggil bangsa touch ‘n go. Tepuk dada, tanya selera.
Sudah sampai masanya semua pengiklanan dalam negara menggunakan bahasa Melayu dengan betul daripada aspek hukum nahu bahasa Melayu.  Penggunaan  bahasa Melayu yang diselangi perkataan dan nilai bahasa asing secara melulu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Yang penting ialah kita mesti terus memupuk rumpun yang ada dan memperkayakannya dengan bimbingan, hala tuju dan apresiasi bahasa Melayu yang berterusan. Bahasa Melayu yang baik akan memartabatkan bangsa Malaysia.


Kesimpulannya, bahasa yang kita martabatkan itulah yang akan membentuk jiwa kita sebagai  satu bangsa.Sekiranya bahasa yang kita martabatkan adalah bahasa kebangsaan, maka yang akan terpancar daripada bangsa kita ialah jiwa kebangsaannya. Jika kita sentiasa memandang tinggi kepada bahasa kebangsaan kita, bersinarlah jiwa kebangsaan kita, dan berjayalah pembentukan jati diri kita sebagai bangsa yang bermaruah. Bahasa itu citra sesuatu bangsa.


Akhir kata;


Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa


Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalammualaikum warah matullahiwabarakatu.


TEKNIK PENULISAN KARANGAN

PERENGGAN PENDAHULUAN:

Bahagian kepala karangan sama maksud dengan perenggan pendahuluan. Perenggan ini melibatkan tema dan isu semasa. Jangan masukkan apa-apa contoh dalam perenggan ini. Ayat akhir dalam perenggan ini sebaiknya menggunakan ayat tanya yang merujuk kepada skop soalan. Perenggan pendahuluan hendaklah mempunyai LIMA PERKARA yang ditulis dalam satu perenggan:

i.  Ayat Tema/Topik (AT): merujuk kepada tema karangan
ii. Isu Semasa
iii. Huraian Isu
iv. Pendapat
v. Pendirian Penulis/ Ayat Arah : merujuk kepada skop soalan

Contoh:

(Tema)Komuniti hari ini sering digembar-gemburkan dengan pelbagai rancangan televisyen realiti. (Isu semasa) Rancangan televisyen realiti kini semakin mendapat tempat dalam hati populasi di negara ini. (Huraian isu) Tambahan pula , setiap rumah di negara ini sekurang-kurangnya mempunyai sebuah televisyen. Hal ini memudahkan penerbit untuk menerbitkan pelbagai rancangan televisyen realiti. Oleh sebab itu, pertambahan rancangan televisyen realiti semakin meningkat dari semasa ke semasa. Antara rancangan televisyen realiti yang sering dipaparkan melalui skrin televisyen sekarang termasuklah `Akademi Fantasia’, `Mentor’, `One In A Milion’ dan banyak lagi. (Pendapat) Penerbit rancangan-rancangan tersebut berpendapat bahawa dengan penerbitan rancangan tersebut dapat menyediakan ruang bagi mencungkil bakat-bakat dalam bidang nyanyian dan lakonan melalui mekanisma yang betul. Walhal, mereka mengaut keuntungan yang besar daripada penonton dengan mengadakan undian melalui sistem pesanan ringkas. Hal ini dapat diibaratkan seperti pepatah Melayu ”sambil menyelam minum air”. (Ayat Arah)Persoalannya apakah kesan-kesan rancangan televisyen realiti kepada komuniti di negara kita?

PENGEMBANGAN ISI (cara pertanyaan)

FORMULA / RUMUS PENGEMBANGAN ISI
ATAH (5W 1H 1I) AC AS pb

1. AT ( Ayat Topik ) Isi utama
2. AH ( Ayat Huraian ) apa, siapa, bila, di mana, mengapa( 5W ),
             bagaimana (1H) dan sekiranya (1I)
4. AC ( Ayat Contoh ) Contoh yang berkaitan dengan isi
5. AS ( Ayat Simpul ) Penutup perenggan


     - Kaitan atau perhubungan
     - Membanding atau membeza
     - Meramal
     - peribahasa(pb)

CONTOH APLIKASI
 
ISI - Rancangan televisyen realiti menyebabkanb pembaziran

(AT)Rancangan televisyen realiti mendatangkan pelbagai impak negatif kepada masyarakat di negara kita.
(AH 1) Rancangan televisyen realiti ini menyebabkan berlakunya pembaziran sama ada masa atau wang. (Apa)
(AH 2)Rancangan ini melalaikan para penonton.(siapa)
(AH3)Hal ini kerana ,penonton yang menggemari rancangan ini akan setia menanti di hadapan televisyen untuk menonton rancangan tersebut. (mengapa)
(AH4) Selain itu, mereka sanggup juga membatalkan janji temu mereka dengan sahabat handai semata-mata ingin menonton rancangan tersebut yang tidak membawa keuntungan kepada penonton.(Bagaimana)
(AH 5) Para pelajar turut membuang masa dengan menonton rancangan tersebut dan menggadaikan masa ulang kaji mereka. (Bagaimana)
(AH6) Rancangan televisyen realiti ini juga membazirkan wang para penontonnya kerana para penonton akan mengundi artis pilihan mereka.(Bagaimana)
(AC)Walaupun satu undian hanya bernilai RM1, tetapi apabila undian itu dilakukan beberapa kali sudah tentu melibatkan penggunaan wang yang banyak. Ibarat sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit, tanpa sedar  wang yang dibelanjakan semakin banyak .
(AS) Jelaslah di sini bahawa rancangan televisyen realiti ini membazirkan masa dan wang.


KESIMPULAN

PENUTUP KARANGAN

Sesebuah karangan perlu mempunyai “kaki” supaya boleh berdiri kukuh. Perenggan penutup ini tidak boleh diabaikan oleh pelajar kerana berperanan sebagai pelengkap sesebuah karangan. Unsur yang perlu ada dalam perenggan ini ialah:

i. Ayat Kesimpulan(AK)
Ii. Ayat Cadangan(AC)
Iii. Ayat Harapan(AH)
Iv. Ayat Penegasan(AP)

Ayat pertama yang ditulis merumuskan keseluruhan isi yang telah dibincangkan. Jangan masukkan isi baru dalam perenggan ini. Rumusan secara umum tentang keseluruhan isi sudah memadai untuk menyimpulkan karangan. Kemudian, nyatakan cadangan dan harapan anda terhadap isu yang telah dibincangkan. Sebagai penutup ayat karangan anda, pelajar digalakkan menegaskan pendirian terhadap keseluruhan isi karangan.

Contoh:

(AK)Kesimpulannya, rancangan televisyen realiti mendatangkan pelbagai kesan dan dapat memudaratkan masyarakat di negara kita.
(AC) Bagi penerbit yang ingin menerbitkan rancangan televisyen realiti ini haruslah semata-mata untuk mencungkil bakat baru dalam kalangan masyarakat di negara kita.
(AC)Pihak penerbit tidak seharusnya mengambil kesempatan daripada rancangan yang diterbitkan.
(AC)Selain itu, pihak penerbit perlu juga mengurangkan undian melalui sistem pesanan ringkas. (AC)Peserta-peserta haruslah dinilai berdasarkan bakat yang terpendam dalam diri mereka bukan kerana kecantikan rupa paras semata-mata.
(AC)Rancangan televisyen realiti haruslah dikurangkan.
(AC) Hal ini penting untuk mengelakkan pertambahan masalah sosial dalam kalangan remaja di negara kita.
(AC)Pihak penerbit haruslah menggantikan rancangan televisyen realiti dengan rancangan-rancangan ilmiah yang lebih memberikan keuntungan sama ada kepada penerbit ataupun penonton.
(AH)Dengan ini, masyarakat yang berilmu dapat dilahirkan di negara kita.
(AP)) Saya yakin andainya cadangan ini dapat dilaksanakan sudah pasti akan dapat meningkatkan imej dan karier masyarakat di negara ini walaupun sebagai seniman dan seniwati dalam bidang seni nyanyian dan lakonan.





SENARAI PERIBAHASA (PERUMPAMAAN DAN PEPATAH) YANG TERDAPAT DI DALAM BUKU TEKS TINGKATAN 1 hingga 3

BIL
PERUMPAMAAN/
PEPATAH
MAKNA
1
Air beriak tanda tak dalam

Banyak bercakap tanda tiada berilmu.
2
Alang-alang  berminyak biar licin
Berbuat sesuatu jangan kepalang tanggung.

3
Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan
Kalau sudah terlanjur berbuat sesuatu, biarlah diperoleh hasil daripadanya.

4
Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan
Sangat menderita kesusahan meskipun bergaji besar (beristerikan atau bersuamikan orang kaya) atau hidup miskin di negara yang kaya dan makmur.

5
Bagai air mencari jenisnya
Berusaha untuk mencari ilmu dengan tidak berhenti-henti; usaha dengan tidak mengenal jerih payah.

6
Bagai ayam disambar helang
Mati tanpa sakit.

7
Bagai cendawan tumbuh selepas hujan
Terlalu banyak pada sesuatu masa.
8
Bagai cincin dengan permata
Pasangan pengantin yang sepadan.
Contoh ayat: Suami isteri itu sama cantik sama padan seperti cincin dengan permata.

9
Bagai kerakap tumbuh di batu, hidup segan mati tidak mahu
Hidup dalam kemelaratan.
Kerakap sebangsa sirih tetapi tidak dimakan orang.

10
Bagai layang-layang putus tali
Tiada berpedoman. @ sudah putus harapan,bergantung pada nasib sahaja.

11
Bagai menatang minyak yang penuh
Memelihara anak dengan penuh kasih sayang.

12
Bagai minyak dengan air
Orang baik kalau duduk dengan orang jahat tidak akan menjadi jahat.

13
Bagai murai dicabut ekor
Orang yang suka  bercakap.
Perempuan yang suka bercakap banyak.
Contoh ayat: Suasana di dalam kelas 3P2 riuh oleh suara Nadiah yang becok bagai murai di-
cabut ekor.

14
Bagai pucuk dilancarkan
Amat cepat.
15
Bagaimana acuan begitulah kuihnya; bagaimana contoh begitulah gubahannya
Perangai anak biasanya mengikut orang yang mengasuhnya.
16
Baik membawa resmi padi daripada resmi lalang
Tidak sombong; rendah diri.
17
Belayar sambil memapan, merapat sambil belayar
Sesekali melakukan pekerjaan dua tiga maksud tercapai.
18
Belum duduk sudah berlunjur
Belum memperoleh sesuatu yang dikehendaki, sudah bergirang hati atau gembira lebih dulu.

19
Berat mata memandang berat lagi bahu memikul
Betapa berat kita melihat kesusahan yang dialami oleh seseorang, berat lagi penderitaan itu pada orang yang menanggungnya.

20
Berjagung-jagung dahulu sementara padi masak
Sementara menunggu apa yang baik, lakukan juga perkara-perkara yang berfaedah.

21
Biar jatuh terletak, jangan jatuh terhempas
Lebih baik menarik diri terlebih dahulu sebelum diberhentikan dengan tidak terhormat.

22
Biar mati anak jangan mati adat
Adat yang tidak boleh dilanggar.

23
Biar putih tulang jangan putih mata
Lebih baik mati daripada menanggung malu.

24
Carik-carik bulu ayam , lama-kelamaan bercantum juga
Perselisihan faham antara saudara-mara dan adik-beradik tidak berpanjangan, akhirnya akan berbaik semula.

25
Diam-diam ubi berisi; diam-diam besi berkarat
Orang berilmu yang berdiam diri lebih baik daripada orang diam tetapi tidak berilmu.

26
Diibaratkan sebagai condong ditumpil, lemah dianduh
Memberi pertolongan kepada orang-orang di dalam kesusahan.

27
Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan
Seseorang yang bercita-cita tinggi akan berusaha untuk mencapainya.

28
Genggam bara api biar sampai jadi arang
Membuat sesuatu pekerjaan yang susah, hendaklah sabar sehingga mencapai kejayaannya.

29
Harimau mati meninggalkan belang; manusia mati meninggalkan nama
Orang baik meninggalkan nama baik, orang jahat meninggalkan nama jahat.
Setiap manusia akan dikenang kerana jasa dan budi yang telah dilakukan semasa hidupnya.

30
Hendak belajar berenang dapatkan itik, hendak belajar memanjat dapatkan tupai
Hendak mengetahui sesuatu perkara bertanyalah kepada orang yang mahir tentang sesuatu perkara itu.
31
Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih
Setiap yang berkemahuan, tentu ada jalan.
32
Ibarat burung, mata terlepas badan terkurung
Tidak ada kebebasan atau kemerdekaan.
Contoh ayat: Rakyat di negara jajahan komunis itu ibarat burung,mata terlepas badan terkurung.

33
Jika ada kemenyan sebesar lutut pun, jika tidak dibakar tidak akan berbau
Kepandaian hendaklah diajarkan kepada orang lain, kerana kalau disimpan akan hilang begitu sahaja.
34
Kalau tak berada-ada tak akan tempua bersarang rendah
Tentu ada sebab yang tersembunyi menyebabkan sesuatu hal terjadi @ Setiap kejadian meninggalkan kesan.

35
Kalau tiada rotan akar pun berguna
Sesuatu perkara yang dihajatkan sekiranya tidak dapat diperolehi memadai dengan apa yang ada.

36
Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya
Kita tidak akan mendapat hasil jika tidak berusaha.

37
Kalau tidak kerana angin tidak akan pokok bergoyang
Kalau terjadi sesuatu hal tentu ada sebab-sebabnya.

38
Perempuan serasan, lelaki pemalu
Pegangan hidup yang tidak serupa.

39
Sebagai gembala diberi keris
Orang yang mendapat sesuatu yang tidak berguna.

40
Sekali membuka pura, dua tiga hilang berbayar
Sekali melakukan pekerjaan dua tiga maksud tercapai.
41
Semacam besar pacak daripada tiang
Belanja lebih besar daripada pendapatan.

42
Seperti air dalam dulang
Negeri yang aman sentosa.

43
Seperti api di dalam sekam
Kejahatan yang dilakukan secara diam-diam atau tanpa disedari

44
Seperti aur dengan tebing
Dua orang yang berkawan rapat dan saling membantu
Contoh ayat : Kita tidak boleh hidup menyendiri sebaliknya hiduplah seperti aur dengan tebing.

45
Seperti aur ditarik songsang
Pekerjaan atau perkara yang sukar diselesaikan kerana sudah tersalah jalan.

46
Seperti embun dihujung rumput
Tidak kekal

47
Seperti harimau menyembunyikan kukunya
Orang yang menyembunyikan kelebihannya.
48
Seperti hujan jatuh ke pasir
Nasihat yang tidak dihargai atau sesuatu pekerjaan yang sia-sia.
Contoh ayat: Nasihat kaunselor kepada pelajar itu tidak ubah seperti hujan jatuh ke pasir kerana kedegilannya.

49
Seperti lintah menghisap darah
Meletakkan faedah yang tinggi; menipu dengan cara lemah lembut.
50
Seperti lipas kudung
Selalu bergerak dengan cepat.

51
Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
Orang besar yang merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya.
Contoh ayat : Sekalipun beliau bergaul dengan orang kebanyakan,namun hal itu bagai ular menyusur akal takkan hilang bisanya.

52
Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran
Terlalu tamak untuk mencari keuntungan hingga menyebabkan kehilangan sesuatu yang sudah dimiliki.


 TEMA AMALAN MEMBACA
(4  UNSUR)

Soalan :
Membaca ialah amalan yang mulia. Amalan ini sepatutnya bermula dari rumah kerana tanggungjawab memupuk minat membaca terletak di bahu ibu bapa.Berikan komen anda.

 Pendahuluan.
-Membaca jambatan ilmu.
-Faedah membaca : menambahkan ilmu pengetahuan dan membuatkan seseorang tidak ketinggalan zaman, tidak menjadi “katak bawah tempurung”.
-Ibu bapa berperanan memupuk minat membaca kerana anak-anak lebih banyak menghabiskan masa di rumah, ibu bapa merupakan orang yang paling rapat dengan anak-anak.
-Namun ada sesetengah ibu bapa yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka. Hal ini menjadi kekangan untuk membentuk perasaan suka membaca dalam diri anak-anak.

Isi Pertama
AT : Ibu bapa wajar menyediakan persekitaran yang kondusif untuk anak-anak.
AH  Persekitaran membaca yang kondusif dapat menarik minat anak-anak untuk membaca.
-Anak-anak lebih mudah mendapatkan bahan bacaan dengan hanya mencarinya di tempat yang telah disediakan.
-Anak-anak dapat menghabiskan masa senggang di tempat yang disediakan sekaligus mendorong mereka untuk membaca.
AC : -Ibu bapa hendaklah menyediakan perpustakaan mini yang lengkap dengan banyak bahan bacaan yang menarik dan berbentuk ilmiah berbanding picisan.
AP : Jelaslah ibu bapa bertanggungjawab menyediakan persekitaran membaca yang kondusif sebagai usaha memupuk minat membaca dalam diri anak-anak.
UM : Seperti katak bawah tempurung.

Isi Kedua
AT : Ibu bapa hendaklah menerapkan perasaan membaca dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi.
AH :-Kanak-kanak lebih mudah dibentuk berbanding remaja.
-Jika amalan membaca dipraktikkan dalam rutin harian anak-anak sejak kecil, amalan tersebut akan menjadi kebiasaan bagi mereka. Perasaan suka membaca juga akan terbentuk secara tidak langsung.
AC : Ibu bapa hendaklah membiasakan anak-anak menggunakan waktu senggang mereka sejak kecil. Waktu khas untuk membaca hendaklah ditetapkan seperti waktu hujung minggu.
AP : Ternyata ibu bapa bertanggungjawab menerapkan perasaan suka membaca sejak anak-anak kecil lagi.
UM :-Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
-Alah bisa tegal jadi biasa.

Isi Ketiga
AT : Ibu bapa sendiri haruslah menjadi contoh kepada anak-anak.
AH :-Segala tindakan ibu bapa sentiasa diperhatikan dan menjadi ikutan anak-anak.
-Ibu bapa haruslah menjadi role model dan menjadikan amalan membaca sebagai salah satu aktiviti dalam rutin harian mereka agar anak-anak mengikut jejak langkah mereka.
AC : Ibu bapa turut serta membudayakan amalan membaca terutamanya jika ada waktu lapang semasa bersama anak-anak.
AP : Oleh hal yang demikian, ibu bapa sendiri haruslah memupuk minat membaca anak-anak dari semasa ke semasa.
UM :-Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
-Kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Isi Keempat.
AT :-Menghadiri atau mengunjungi pameran dan jualan buku.
AH :-Masa lapang diisi dengan perkara berfaedah
       -Eratkan juga hubungan silaturrahim
AC :-Dapat menambahkan koleksi bahan bacaan di rumah
      -Dalam masa yang sama dapat tambahkan pengetahuan
AP :-Ibu bapa harus rajin membawa anak mereka menyertai ekspo dan pameran jualan yang diadakan.

Isi Kelima
AT-membeli buku-buku untuk dibaca oleh anak-anak.
AH-1.setiap bulan ibu bapa hendaklah membeli buku untuk menambahkan ilmu anak-anak dan mengikuti perkembangan semasa.
2.banyakkan bahan-bahan ilmiah yang boleh diperoleh daripada kedai-kedai buku yang berhampiran.
AC-majalah dewan masyarakat, dewan siswa dan sebagainya.
AP-ibu bapa hendaklah membeli bahan bacaan setiap bulan untuk anak-anak mereka bagi memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak.

Penutup:
- Ibu bapa sememangnya memainkan peranan yang penting dalam menerapkan sikap suka membaca dalam diri anak-anak memandangkan anak-anak inilah yang bakal menerajui tampuk pimpinan negara ini kelak.
-Mereka seharusnya dilengkapkan dengan ilmu yang akan menjadi senjata paling berharga untuk diaplikasikan dalam kehidupan pada zaman globalisasi yang sangat mencabar ini.
-Sebagai ibu bapa, anda bertanggungjawab mendidik anak-anak untuk minat membaca. “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”. Usaha yang berterusan untuk membentuk anak-anak suka membaca perlu dibuat agar faedah membaca dapat diperoleh.